Berita Utama

PAS Johor usahakan pertemuan UMNO negeri bincang persefahaman MN

'Kita berusaha berbincang mengenai persefahaman kita'

JOHOR BAHRU, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin – PAS Johor akan berusaha untuk bertemu dengan pimpinan Umno negeri dalam masa terdekat bagi berbincang mengenai persefahaman dua parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas semangat Muafakat Nasional (MN).

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Johor Abdullah Husin berkata pihaknya telah meminta untuk bertemu dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Hasni Mohammad hari ini, namun difahamkan Menteri Besar itu agak sibuk.

“Kita berusaha untuk bertemu dengan pimpinan UMNO negeri dalam masa terdekat untuk berbincang mengenai persefahaman kita,” katanya ketika ditemui di Pejabat PAS Johor, di sini hari ini, sebagai mengulas kenyataan Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor sebelum ini, bahawa BN negeri bercadang bertanding secara solo pada PRN ini.

Abdullah berkata beliau melihat kenyataan Hasni itu sekadar pandangan UMNO negeri dan BN negeri memandangkan sebarang keputusan sama ada BN akan bertanding secara solo ataupun tidak, bergantung kepada keputusan Majlis Tertinggi Umno dan PAS pusat.

Katanya masih ada ruang untuk berbincang dalam MN, dan PAS Johor boleh bincang dengan Umno atau BN negeri, namun apa pun keputusan PAS memang sudah bersedia untuk menghadapi PRN.

Menurut Abdullah sebarang keputusan perbincangan dalam MN itu tidak akan menjejaskan persiapan PAS Johor menghadapi PRN itu dan kira-kira seramai 15,000 jentera PAS termasuk dari negeri-negeri lain akan digerakkan bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya pada masa sama telah menyerahkan tugas kepada Dewan Pemuda Pas Johor untuk mengambil tanggungjawab menyantuni pengundi muda melalui entiti parti melibatkan anak-anak muda seperti Briged Muda dan Jabatan Amal Malaysia (JAM). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button