Berita Utama

Peniaga diingat tidak naik harga barang, tertakluk AKHAP

Ini bagi memastikan situsi tak bebani rakyat

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Peniaga diingatkan tidak sesekali melakukan perubahan harga yang tidak seiring dengan kenaikan kos ditanggung dan perlu munasabah dalam membuat sebarang perubahan harga jual supaya tidak membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata ini kerana peniaga tertakluk kepada peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Akta itu memperuntukkan bahawa peniaga tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya perubahan harga yang dibuat menunjukkan kenaikan yang terlalu tinggi, mendadak dan mengambil untung secara tidak munasabah atau berlebihan,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan Rosol itu dikeluarkan bagi menjelaskan kenyataan beliau di Kuching, Sarawak pada Jumaat lepas berhubung isu perubahan dan ketidakstabilan harga barang keperluan makanan ketika ini, yang turut memberi kesan kepada perniagaan makanan bermasak.

Jelasnya, tiada istilah kerajaan memberi kebenaran kepada peniaga untuk menaikkan harga makanan dijual seperti dilaporkan, sebaliknya beliau menekankan mengenai penguatkuasaan kementerian dalam isu kenaikan harga barang dan makanan.

“Maksud sebenar saya berhubung ‘peniaga boleh naikkan harga asalkan tidak mencatut’ adalah menerangkan maksud berikut iaitu, selaras dengan penguatkuasaan AKHAP 2011, peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuklah dalam membuat sebarang perubahan harga jual, tetapi tetap tertakluk kepada peraturan-peraturan di bawah AKHAP 2011, termasuk tidak mencatut.

“Sebagai negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka, harga barangan ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran. Begitu juga dalam isu harga makanan, yang peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuklah membuat sebarang perubahan harga jual,” katanya.

Menurut Rosol, sekiranya kementerian menerima aduan berhubung harga, peniaga yang diadu akan disiasat dan boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011.

Katanya, pengguna yang berdepan salah laku peniaga termasuk yang cuba mengambil keuntungan berlebihan dan mencatut, diminta mengemukakan aduan kepada saluran aduan rasmi kementerian bagi membolehkan siasatan dilakukan dan tindakan lanjut diambil.

“Gunakan kuasa pengguna anda sebaiknya,” kata beliau. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button