Raikan kepelbagaian bukan makna korbankan jati diri
Kenapa kita masih lagi belum dapat keluar daripada kemelut usaha majukan negara?

BANGI, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Meskipun negara sudah merdeka lebih 64 tahun, namun rakyat masih terkial-kial dalam mencari jati diri dan identiti.
Pun begitu perlu diingatkan, meraikan kepelbagaian bukan bermakna mengorbankan jati diri, identiti dan maruah negara, tegas pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Tegasnya, jati diri dan identiti tetap terpelihara tanpa kompromi.
“Jika tidak, negara ini akan hilang jati diri dan identiti, menjadi caca marba. Tidak mustahil, sudah pun berlaku, menjadi lebih barat daripada daripada barat, atau terlebih Cina.
“Cukuplah replika di Suria KLCC yang telah mengundang pelbagai kontroversi, sehingga Suria KLCC terpaksa mengubahnya kembali,” katanya menulis di Kolumnis Ismaweb.net hari ini.
Dalam hal ini, Prof Ridhuan Tee merasa hairan mengapa rakyat masih lagi belum dapat keluar daripada kemelut dalam usaha memajukan negara.
Beliau tidak menolak kemungkinan antara penghalang terbesar dalam mengejar kemajuan adalah sikap sendiri begitu juga gejala rasuah yang semakin membarah.
Selain itu, negara juga ketandusan pemimpin yang mempunyai jati diri dan beridentiti yang mampu membawa rakyatnya untuk sehati sejiwa, sehidup semati membangun agama, bangsa dan negara tercinta, katanya.
“Yang ada, adalah perpecahan yang semakin ketara, dengan watak-watak sikitol dan mandaliar yang semakin menghancurkan,” katanya.
BACA LANJUT ULASAN PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH DI RUANGAN KOLUMNIS ISMAWEB.NET