Berita Utama

SPR terima notis pembubaran DUN Johor

Bakal adakan mesyuarat khas PRN pada 9 Februari depan

BANGI, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) secara rasmi telah menerima notis berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari lalu.

Notis yang diterima daripada Speaker DUN Johor itu sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.

Sehubungan itu, Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, satu mesyuarat khas berkaitan urusan PRU DUN Johor ke-15 akan diadakan pada 9 Februari depan.

“Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh YBhg Datuk Abdul Ghani Salleh, Pengerusi SPR yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Johor seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Johor bakal menjadi negeri seterusnya yang akan mengadakan PRN selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.

Ini selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran DUN pada Sabtu lalu.

Khabar angin mengenai PRN Johor tercetus sejak beberapa minggu susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu.

Hal itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button