Berita Utama

UMNO silap jika sangka boleh menang besar PRN Johor

Pertembungan 3 penjuru hanya rugikan kawasan majoriti Melayu Islam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Jamadilakhir 1443H, Isnin РKeputusan UMNO-Barisan Nasional (BN) bergerak solo tanpa kerjasama dengan rakan strategik Muafakat Nasional  (MN) РPAS Рpada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bukanlah suatu yang mengejutkan.

Parti itu sudah mengambil keputusan sama sebelum ini pada PRN Melaka, dengan hanya bertanding atas tiket BN tanpa membabitkan PAS yang dahulunya dicanang seperti ‘adik beradik’.

Oleh kerana, mula berasa yakin dengan sedikit sokongan yang dikembalikan kepada parti itu, UMNO perlahan-lahan meninggalkan ‘saudaranya’ untuk memonopoli semula pentadbiran negeri serta negara.

Pemerhati politik, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, UMNO dijangka masih mampu mengekalkan penguasaan mereka di Johor, memandangkan parti itu mempunyai sejarah panjang dengan negeri berkenaan.

Bagaimanapun, UMNO-BN silap jika parti itu menyangka mampu menang besar di Johor, sebagaimana kejayaan yang pernah diperoleh mereka pada PRN Melaka sebelum ini, katanya.

“Ini kerana kemenangan di Melaka tidak boleh dijadikan ukuran.

“Walaupun mereka memenangi 21 kerusi DUN daripada jumlah 28 kerusi (75 peratus), tetapi undi popular menunjukkan BN hanya dapat 38.39 peratus (122.741 undi) tidak jauh dengan Pakatan Harapan yang mendapat 35.80 peratus (114,457 undi),” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Muhammad Lukman berkata, beliau sudah menjangka UMNO akan bertanding di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tidak termasuk agihan yang diberikan kepada komponen lain iaitu MCA dan MIC.

“Sudah tentulah senario ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, Perikatan Nasional dan PH seperti mana yang kita dapat lihat dalam PRN Melaka sebelum ini.

“Pertandingan tiga penjuru juga akan merugikan kawasan majoriti bangsa Melayu Islam jika PH meletakkan calon bukan Melayu disebabkan perpecahan undi Melayu yang seringkali berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), PRN dan PRU,” katanya.

Mengulas pelaksanaan PRN tidak lama lagi, beliau turut menjangkakan peratus keluar mengundi rendah seperti mana berlaku di Melaka, memandangkan rakyat rata-ratanya semakin bosan melayan karenah politikus ketika ini.

Polemik PRN Johor akhirnya terjawab pada Sabtu lalu, selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dengan keputusan itu, Johor bakal menjadi seterusnya yang akan mengadakan PRN selepas Sabah, Melaka dan Sarawak sebelum ini.

Khabar angin mengenai PRN Johor tercetus selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu.

Hal itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button