Berita Utama

8 lelaki warga asing dipenjara 12 bulan

Miliki 31,630 kilogram minyak masak secara borong tanpa lesen

KUALA KUBU BHARU, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas tujuh rakyat Myanmar dan seorang warga Thailand  kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu 31,630 kilogram minyak masak secara borong tanpa lesen, tahun lepas.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu ke atas Shofi Habi Ullah, Adumujib Ismail, Mohammad Ali Ali Ahmad, Hamid Hussein Nobi Husson, Abdul Mubarik Abdul Malik, Nor Hamod Basir Ahmed dan Mohammad Ali Harun Ali yang kesemuanya warga Myanmar serta Doloh Cheloh, rakyat Thailand selepas mereka mengekalkan pengakuan bersalah pada hari ini.

Mahkamah memerintahkan kesemua lelaki berusia antara 18 hingga 45 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 11 Oktober 2021.

Nurul Mardhiah turut menjatuhkan hukuman denda RM200,000 ke atas lelaki warga tempatan, Ku Mohd Fahmi Ku Mat, 44, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalah atas kesalahan sama dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Kesemua mereka mengaku bersalah sebelum ini pada 15 Oktober  2021 dan hari ini merupakan hari mahkamah menjatuhkan hukuman.

Kesemua mereka didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas telah ada dalam kawalan mereka barangan berjadual iaitu 31,630 kilogram minyak masak dalam keadaan yang mendatangkan syak.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen di sebuah premis tanpa nama di Bandar Bukit Beruntung, Rawang pada 11.30 pagi, 11 Oktober 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya hendaklah didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button