Berita UtamaDunia

Ancam infrastruktur, Jerman lanjut sekatan COVID-19

Menteri Kesihatan jangka gelombang jangkitan memuncak pada pertengahan Februari

BERLIN, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Jerman melanjutkan langkah pandemik semasa negara ini selepas panel pakar yang dilantik kerajaan memberi amaran bahawa varian Omicron boleh membawa infrastruktur kritikal dalam ekonomi terbesar Eropah itu ke ambang kehancuran.

Canselor Olaf Scholz berkata, beliau bersetuju dengan ketua-ketua negeri Persekutuan untuk melanjutkan sekatan seperti mengehadkan perhimpunan persendirian kepada 10 orang dan memerlukan bukti penerimaan dos penggalak atau ujian negatif di restoran.

“Kini tiba masanya untuk terus berada di landasan,” kata Scholz selepas mesyuarat pada Isnin.

Kerajaan akan mempertimbangkan semula untuk melonggarkan atau mengetatkan langkah sekiranya berlaku peningkatan atau penurunan jumlah jangkitan yang sangat mendadak, katanya.

Scholz dan Ketua Menteri juga bersetuju untuk mengutamakan penggunaan ujian PCR COVID-19 dan meningkatkan kapasiti ujian bagi menghadapi peningkatan jangkitan.

Bagaimanapun ujian PCR bersubsidi hanya akan digunakan untuk kumpulan dan kakitangan yang berisiko di klinik serta rumah jagaan.

Pertemuan seterusnya dengan pemimpin negeri untuk membincangkan kemungkinan langkah kawalan COVID-19 dijadualkan berlangsung pada 16 Februari, kata canselor.

Menurut data dari Institut Robert Koch (RKI) untuk penyakit berjangkit, pada Isnin, Jerman melaporkan 63,393 kes baharu COVID-19 – meningkat 86 peratus daripada seminggu lalu.

Menteri Kesihatan, Karl Lauterbach awal bulan ini berkata, beliau menjangkakan gelombang jangkitan akan memuncak pada pertengahan Februari.

Di Berlin – yang kadar kes bagi setiap 100,000 penduduk dalam tempoh tujuh hari lalu mencecah 1,465 – kedua tertinggi di Jerman – kehadiran wajib sekolah akan ditangguhkan sehingga akhir Februari, kata Datuk Bandar, Franziska Giffey. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button