Berita Utama

Bayaran sagu hati untuk jemaah terkesan tangguh kebenaran umrah

Menteri agama bincang dengan 3 pihak, umum dalam masa terdekat

BANGI, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Kerajaan merancang memberikan bayaran sagu hati kepada jemaah umrah yang terkesan keputusan penangguhan perjalanan umrah oleh Kementerian Kesihatan (KKM), baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Katanya, beliau bersama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Lembaga Tabung Haji (TH) dan wakil Kementerian Kewangan (MOF) telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu pagi tadi.

“Pengumuman penangguhan umrah selama sebulan oleh KKM pastinya telah memberikan kesan kepada jemaah yang terlibat.

“Pagi ini, saya bersama dengan MOTAC, Tabung Haji dan wakil MOF berbincang untuk memberikan pembayaran sagu hati kepada jemaah umrah yang terkesan,” katanya.

Idris berkata, pemberian sagu hati itu akan diumumkan dan diusahakan dalam masa terdekat.

“Semoga dengan pemberian sagu hati ini sedikit sebanyak akan memberikan sedikit kelegaan kepada seluruh jemaah umrah,” katanya.

Pada 1 Januari lalu, KKM mengumumkan keputusan penangguhan sementara perjalanan umrah berkuat kuasa 8 Januari, bagi mengurangkan risiko penularan varian Omicron dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perhimpunan berskala besar membabitkan jemaah dari pelbagai negara ketika di Arab Saudi mendedahkan kepada risiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron.

Malah, kegagalan jemaah umrah yang pulang ke Malaysia mematuhi arahan kuarantin juga menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button