Berita Utama

Bersatu Johor syor ‘rujuk’ kembali dengan PH untuk PRN

Cadang tubuh Muafakat Rakyat Johor demi tentang BN

BANGI, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru mencadangkan satu bentuk kerjasama baharu antara Perikatan Nasional (PN) dengan semua parti pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mengesyorkan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) ditubuhkan sebagai formula untuk menentang Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan.

Beliau berkata, cadangan penubuhan MRJ itu akan terdiri daripada Bersatu, Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Selain penggunaan nama MRJ, kita juga boleh namakan gabungan Perikatan Nasional, PH dan parti pembangkang ini sebagai Gabungan Rakyat Johor atau GRJ seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang digunakan dalam PRN Sabah.

“Formula gabungan PH sebelum ini berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Kemuafakatan dalam parti dan rakan seperjuangan adalah kunci kejayaan untuk menang dalam PRN Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razrul berkata, parti yang menentang BN mesti berada di bawah satu panji dan menganggap formula itu adalah relevan serta terbaik.

“Jika tidak, sia-sia sahaja kemenangan akan berpihak kepada UMNO. Buktikan kepada rakyat Johor tindakan muafakat kita. 

“Tidak mustahil muafakat ini dapat menumbangkan BN sekali lagi,” katanya.

Bersatu pernah menjadi sebahagian daripada blok PH sebelum memutuskan keluar daripada kerjasama itu pada Februari 2020 dan menjadi antara faktor kemelut politik negara tercetus ketika itu.

Parti yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu kemudiannya mengambil langkah bekerjasama dengan PAS dan UMNO dengan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, kerajaan itu tidak kekal lama ekoran seteru antara Bersatu dan UMNO sehingga terbentuk pula kerajaan baharu – Keluarga Malaysia – yang masih menggabungkan BN-PN untuk sementara waktu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button