Berita UtamaDunia

Hamid Karzai harap kanak-kanak perempuan Afghanistan kembali bersekolah

Mahu semua pihak bekerjasama tangani krisis di negara tersebut

KABUL, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Kanak-kanak perempuan perlu dibenarkan kembali ke sekolah apabila sesi persekolahan dibuka Mac depan.

Demikian kata bekas Presiden Afghanistan, Hamid Karzai ketika mengulangi pendirian mengenai kepentingan pendidikan kepada pelajar-pelajar perempuan.

“Tidak boleh ada alasan dan tiada sebarang alasan yang boleh diterima, pelajar-pelajar perempuan di negara ini perlu meneruskan persekolahan,” katanya dalam temu bual bersama CNN.

Beliau berkata, begitu juga kaum wanita perlu kembali bekerja malah menegaskan agama Islam tidak pernah menghalang kaum tersebut berbuat sedemikian.

Perkara tersebut adalah sebahagian perbincangan yang sedang berlaku di Oslo, Norway mengenai masa depan Afghanistan.

Delegasi Taliban yang diketuai Pemangku Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil Barat, semalam.

Terdahulu, delegasi Taliban mengadakan perbincangan dengan wakil masyarakat sivil.

Hamid menyokong pertemuan berkenaan dan yakin pakar-pakar akan bekerjasama dalam menangani keadaan termasuk krisis kemanusia yang melanda Afghanistan.

“Kami gembira dengan perbincangan yang berlangsung di Norway antara wakil kerajaan Taliban dan wakil masyarakat sivil. Kami mengadakan beberapa perbincangan yang sangat membina sambil bertukar pandangan,” katanya.

Beliau berpandangan, demi kebaikan Afghanistan, semua pihak perlu bekerjasama bagi mengelak keadaan menjadi lebih parah.

“Kita semua mesti bangkit dan bina semula Afghanistan dalam keadaan stabil dan aman dengan menggabungkan pendapat dan aspirasi semua rakyat Afghanistan.

“Kita juga perlu gubal Perlembagaan, bergerak ke hadapan dengan membuka sekolah terutama kepada kanak-kanak perempuan Mac ini,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button