Berita Utama

Lebih 12,000 mahasiswa nikmati manfaat #DIY4UM

RM300 diagihkan melalui e-dompet Touch ‘n Go’

KUALA LUMPUR, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Lebih 12,000 mahasiswa Universiti Malaya (UM) telah menikmati manfaat RM300 tunai menerusi inisiatif #DIY4UM untuk pembelian keperluan harian dan peralatan pembelajaran.

 

Bantuan tersebut telah diagihkan menerusi tiga pembayaran sama rata melalui e-dompet Touch ‘n Go’ pada sepanjang November dan Disember tahun lepas.

 

Selain sumbangan itu, 11,000 pelajar terawal yang menggunakan dana berkenaan layak mendapat pulangan tunai RM10 apabila mereka berbelanja minimum RM20 menggunakan e-dompet Touch ‘n Go di cawangan kumpulan kedai MR D.I.Y., laman dalam talian MR D.I.Y. atau program mini MR D.I.Y. yang tersedia menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

 

Inisiatif kerjasama bersama antara MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.), Touch ‘n Go Group (Touch ‘n Go) dan UM ini, menyaksikan peruncit pembaikan rumah terbesar di Malaysia mengagihkan lebih RM3.6 juta untuk membantu mahasiswa bersiap sedia untuk pulang ke kampus.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y Adrian Ong berkata, kumpulan itu menyedari bahawa pelajar univesiti merupakab antara golongan yang teruk terkesan dengan bencana banjir.

 

“Kami menyedari, ketika pelajar mula kembali ke kampus selepas pandemik, ramai yang memerlukan bantuan untuk memastikan mereka dilengkapi dengan keperluan harian, bahan pembelajaran dan barangan pelindung diri. Untuk melancarkan urusan pelajar kembali ke kampus, kami memutuskan untuk melancarkan inisiatif #DIY4UM.

 

“Inisiatif kami ini disokong oleh Touch ‘n Go, yang membantu menguruskan pengagihan bantuan melalui platform e-dompet Touch ‘n ‘Go.

 

“Ucapan terima kasih dan penghargaan kami tujukan kepada pasukan Touch ‘n Go, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go Group Effendy Shahul Hamid, kerana bekerja tanpa jemu bersama pasukan kami untuk menjadikan proses pengagihan bantuan tunai ini berjalan lancar dan berkesan,” katanya.

 

Sementara itu, Effendy Shahul berkata, mereka amat berbesar hati terlibat dalam program tersebut dan berharap ia dapat memotivasikan pelajar UM untuk berusaha ke tahap yang lebih tinggi dalam pencapaian akademik mereka.

 

Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Syukor pula mengucapkan terima kasih kepada MR D.I.Y. atas sumbangan ikhlas yang membolehkan pelajar membeli barangan keperluan mereka perlukan sebelum memulakan semester baharu.

 

 

“RM300 mungkin sedikit bagi sesetengah orang, tetapi buat 12,000 mahasiswa kami, ia amat dihargai. Bantuan itu sangat bermakna dengan Touch ‘n Go’ menjadikan proses tuntutan pelajar kami lebih lancar dan dengan promosi tambahan. Sekali lagi, terima kasih MR D.I.Y dan Touch ‘n Go,” katanya.

 

Dalam pada itu, wakil pelajar UM, Wan Afiq Ikhwan Wan Alias berkata bagi sesetengah pelajar, persediaan memasuki semester baharu agak mencabar, namun melalui bantuan inisiatif #DIY4UM ini, ia tepat pada masanya sekali gus dapat meringankan beban mereka.

 

“Kami bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh MR D.I.Y. kerana ia membantu pelajar membeli keperluan pendidikan kami. Stres sudah pun hilang dan kini tiba masanya untuk kami fokus kepada pelajaran,” katanya. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button