Berita Utama

MetMalaysia sahkan hujan batu landa Kuala Lumpur

Fenomena hujan batu biasa terjadi di negara ini

BANGI, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kejadian hujan batu dan angin kencang melanda beberapa kawasan di Kuala Lumpur bermula sekitar jam 4 petang pada Isnin.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, berdasarkan imej radar dan satelit, awan hujan dan ribut petir aktif mula dicerap memasuki ke Kuala Lumpur sekitar jam 3.30 petang.

Bagaimanapun katanya, hujan batu adalah satu fenomena biasa yang terjadi di negara ini.

“Hujan batu berlaku ketika kejadian ribut petir yang kuat berserta hujan lebat dan angin kencang.

“Apabila awam kumulonimbus yang aktif mencapai ketinggian 12 kilometer, suhu udara di dalam awan tersebut melepasi nilai ambang tahap beku dan pembentukan ketulan-ketulan ais di atas lapisan tersebut.

“Ais yang terbentuk di dalam awan turun bersama-sama hujan sebagai ketulan ais yang tidak sempat mencair sebelum sampai ke tanah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Helmi berkata, titisan hujan yang terbentuk sebagai ketulan-ketulan air batu kebiasaannya bersaiz kecil sekitar 1.5 sentimeter iaitu sebesar guli.

Katanya, kejadian hujan batu ini lazimnya berlaku setempat iaitu kawasan yang berada di bawah awan kumulonimbus.

“Tempoh kejadian hujan batu juga agak singkat iaitu sekitar 10 hingga 20 minit sahaja,” katanya.

Katanya lagi, untuk kejadian ribut petir pada tempoh tersebut, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir pada jam 2.55 petang meliputi kawasan Kuala Lumpur dan amaran berkuat kuasa sehingga jam 6 petang.

Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi.

Orang awam juga boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button