Dunia

Omicron bertahan lebih lama pada permukaan plastik, kulit

Bagaimanapun tidak aktif jika terdedah kepada cecair pembasmi kuman

TOKYO, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Varian Omicron didakwa boleh bertahan lebih lama berbanding varian lain pada permukaan plastik dan kulit manusia, menurut kajian saintis Jepun.

Kajian oleh pasukan dari Universiti Perubatan Wilayah Kyoto itu mendapati, Omicron bertahan lebih lama daripada strain asal berikutan hasil beberapa siri ujian makmal.

Mereka merumuskan bahawa kestabilan persekitaran Omicron yang tinggi – keupayaannya untuk kekal berjangkit – mungkin mendorong varian berkenaan menjadi yang dominan menggantikan Delta.

“Kajian kami menunjukkan bahawa pada permukaan plastik dan kulit, varian Alpha, Beta dan Omicron mempamerkan masa kelangsungan hidup lebih lama dua kali ganda daripada strain asal Wuhan dan mengekalkan jangkitan selama lebih daripada 16 jam pada permukaan kulit,” dakwa kajian.

Menurutnya, bagi permukaan plastik, purata tempoh hidup bagi strain asal serta varian Alpha, Beta, Gamma dan Delta masing-masing ialah 56 jam, 191.3 jam, 156.6 jam, 59.3 jam dan 114 jam berbanding Omicron iaitu 193.5 jam bersamaan lapan hari.

Pada sampel kulit daripada mayat, purata tempoh hidup virus adalah 8.6 jam untuk strain asal, 19.6 jam (Alpha), 19.1 jam (Beta), 11 jam (Gamma), 16.8 jam (Delta) dan 21.1 jam terhadap Omicron.

“Kajian ini juga menunjukkan bahawa Omicron mempunyai kestabilan alam sekitar yang paling tinggi dalam kalangan VOC (varian yang menjadi perhatian), sekali gus menjadi antara faktor membolehkan Omicron menggantikan Delta sebagai varian paling cepat merebak,” kata kajian.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) berkata, Omicron kini menjadi kebimbangan utama di seluruh dunia dan menjadi varian paling dominan di kebanyakan negara anggota EU.

Negara yang direkodkan mempunyai peratusan tertinggi kes baharu Omicron adalah Finland (99.9 peratus), Belgium (99.7 peratus), Malta (99.3 peratus) dan Denmark (98.8 peratus).

Walaupun varian tersebut secara amnya lebih tahan terhadap etanol berbanding strain asal, ia tidak aktif sepenuhnya pada kulit selepas 15 saat terdedah kepada cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol.

Oleh itu, penyelidik membuat kesimpulan bahawa setiap individu digalakkan untuk mengamalkan kawalan jangkitan melalui kebersihan tangan menggunakan cecair pembasmi kuman seperti disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button