Berita Utama

PRN Johor: Rundingan PAS UMNO diteruskan

Walau temui jalan buntu di Melaka, usaha diteruskan di Johor pula

BANGI, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – PAS akan terus berusaha ke arah melakukan rundingan bagi mencapai persefahaman bersama UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, biarpun proses rundingan ketika PRN Melaka menemui jalan buntu namun usaha untuk kali ini di PRN Johor akan diteruskan.

“Seperti yang telah disebut Presiden PAS, kita akan terus berusaha bagi proses rundingan bersama UMNO.

“Dunia belum kiamat, InsyaAllah, kita akan terus berusaha berunding,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Semalam, PAS Johor dalam sidang akhbar memaklumkan menghormati hasrat Barisan Nasional (BN) negeri itu yang mahu bertanding secara solo dalam PRN.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin bagaimanapun berkata, ruang untuk menjalin kerjasama dengan UMNO masih terbuka dalam PRN tersebut.

Malah, sebarang keputusan terletak atas pucuk pimpinan tertinggi parti.

Sabtu lalu, Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri ini.

Pembubaran DUN dibuat selepas kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 di blok pembangkang.

Ini susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button