‘Tiada lagi sekatan perjalanan meski kes meningkat’
Kerajaan ambil pendekatan lebih teratur, tidak terlalu keras dengan berpandukan nasihat KKM
PUTRAJAYA, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi pendirian kerajaan bahawa tidak akan ada lagi sekatan perjalanan dilaksanakan dan ‘balik kampung’ untuk Hari Raya Aidilfitri akan dibenarkan.
Ismail Sabri berkata, beliau telah menangani kebimbangan orang ramai ini beberapa hari lalu, sambil memberi jaminan kepada mereka bahawa keadaan akan kembali normal untuk sektor ekonomi dan sosial termasuk perjalanan rentas negeri.
“Saya nyatakan perkara ini sekali lagi kerana masih terdapat ura-ura bahawa perintah kawalan pergerakan akan dilaksanakan dan perjalanan akan disekat.
“Saya telah menerima banyak mesej di media sosial, menyuarakan kebimbangan mereka bahawa mereka tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya.
“Jadi, biar saya katakan ini sekali lagi. Kerajaan tidak akan mengenakan PKP atau sekatan perjalanan dan oleh itu, perjalanan balik kampung boleh dilakukan,” katanya ketika bertemu kakitangan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Sebaliknya, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan kini mengambil pendekatan lebih teratur dan tidak terlalu keras dengan berpandukan nasihat oleh Kementerian Kesihatan (KKM), terutama berkaitan prosedur operasi standard (SOP).
“Kerajaan kini memberi tumpu untuk terus mengurangkan kes pandemik dan pada masa sama, memulihkan ekonomi,” katanya.
Ahad lalu (23 Januari), Ismail Sabri berkata, tiada lagi sekatan perjalanan sekiranya terdapat peningkatan kes COVID-19.
Namun, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketarkan (PKPD) secara bersasar akan dikenakan di kawasan terjejas.
“Diminta jangan risau, kami tidak akan menutup seluruh negara, negeri atau daerah lagi.
“Kami akan memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai banyak jangkitan dengan menguatkuasakan PKPD,” katanya.