Berita Utama

47.5 peratus dewasa sudah terima dos penggalak

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 seluruh negara 1.09

KUALA LUMPUR, 23 Jamadilakhir 1443H, Rabu –  Sebanyak 11,119,363 individu atau 47.5 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19 setakat 11.59 malam tadi.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, sebanyak 25,702,311 individu atau 97.9 peratus populasi dewasa telah melengkapkan dos vaksin COVID-19, manakala 26,062,066 individu atau 99.1 peratus daripada golongan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,783,457 individu atau 88.4 peratus telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,865,416 individu atau 91.0 peratus daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Statistik harian menunjukkan sebanyak 213,226 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 2,169 dos pertama, 2,680 dos lengkap dan 208,377 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 62,679,781 dos.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt seluruh negara setakat semalam adalah 1.09.

Negeri Sembilan mencatat nilai Rt tertinggi iaitu 1.13, diikuti Johor (1.10), Kedah (1.09), Kuala Lumpur (1.07), Selangor (1.05), manakala Pulau Pinang dan Melaka masing-masing 1.03, Sabah (1.01) dan Kelantan (1.0). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button