Berita UtamaIstimewa

OBOR tajaan China dilebarkan di Nusantara?

Perlu kajian secepat mungkin demi keselamatan negara

BANGI, 23 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Tidak mustahil tokoh korporat China akan menguasai ekonomi ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan Timur – Nusantara.

Tidak menolak kemungkinan itu, Ketua Perhubungan ISMA Negeri Kelantan, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir berkata, perkembangan terkini menunjukkan rakyat Indonesia berbangsa China menguasai 90 peratus ekonomi Indonesia.

Bahkan, ada gelaran 9 Naga antara tokoh-tokoh korporat China yang menguasai dan mengawal ekonomi Indonesia.

“Adakah mereka akan terpinggir dengan arus yang ada atau mereka bersama dengan pelaburan dari luar akan menguasai ibu negara Nusantara.

“Rasanya jangkaan ini lebih tepat. Tidak mustahil Nusantara akan dikuasai oleh mereka keseluruhannya. Dengan keupayaan yang mereka ada dan dibantu sahabat mereka dari luar,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, senario semasa menampakkan One Belt One Road (OBOR) tajaan China berpeluang untuk dilebarkan di Nusantara.

Kesan ini bukan sahaja berlaku di Nusantara tetapi akan terpalit juga kepada negara jiran Malaysia yang terdekat terutamanya kedudukan Sabah dan Sarawak, katanya.

“Apa-apa yang berlaku di Kalimantan akan terkesan dengan Malaysia Timur dan Malaysia keseluruhannya.

“Justeru, Malaysia perlu membuat kajian secepat mungkin untuk menghadapi senario masa depan yang akan berlaku demi kestabilan dan keselamatan negara,” katanya.

Menerusi kajian IRIS Institute, OBOR dilihat sebagai manifestasi fahaman politik hasil daripada peta China’s National Humiliation.

Meskipun secara dasarnya dilihat memberi manfaat dari sudut ekonomi, tetapi secara tidak langsung akan membawa implikasi kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

Ia akan membawa kesan dan merubah demografi negara, eksploitasi hasil bumi, merubah struktur ekonomi domestik dan juga aspek kebudayaan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button