Berita Utama

Pengundi Johor perlu pilih calon muslim wibawa, pejuang agenda umat

Bebas pengaruh asing, angkat Malaysia sebagai negara tamadun Melayu

BANGI, 23 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Sabtu lalu.

Bahkan, tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Johor juga bakal diketahui tidak lama lagi sebaik Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) selesai mengadakan mesyuarat khas 9 Februari ini.

Atas dasar itu, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – selaku badan pendesak yang prihatin kepada kepentingan Islam dan Melayu – menggesa pengundi muslim di Johor membuat pilihan bijak dengan memilih wakil rakyat yang berwibawa pada PRN nanti.

Ketua Biro Komunikasi Korporat dan Multimedia ISMA, Norzafry Norhalim berkata, calon muslim yang bakal dipilih mestilah memenuhi kriteria wibawa seperti mengangkat agenda Islam dan aspirasi Perlembagaan di Parlimen, memperjuang agensi Bumiputera, berintegriti, cekap serta mahir dalam urus tadbir.

Katanya, calon berkenaan juga mesti bebas daripada pengaruh asing, selain mempunyai agenda perpaduan umat dan rakyat, serta mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara tamadun Melayu.

“ISMA melihat perkara ini penting supaya dapat meramaikan pemimpin muslim yang akan lantang bersuara dan berani mempertahankan segala kepentingan umat Islam.

“Dengan pemimpin muslim berwibawa yang ramai ini, pasti dapat menjadi suara yang akan menyatukan umat Islam agar segera duduk semeja, berunding, berbincang dan bersepakat demi menjaga hak dan kepentingan umat Islam tanpa mengira blok kepartian sama ada UMNO, PAS Amanah, PPBM dan PKR,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, PRN Johor juga bakal berdepan dengan 700,000 pengundi muda terutama yang berusia 18 tahun apabila Akta Undi 18 telah diwartakan.

“Perkara ini pastinya menjadi cabaran kepada negara dalam landskap politik, sama ada pengundi muda ini dapat membuat keputusan berdasarkan fakta atau hanya mengikut emosi.

“Justeru, ISMA menyeru kerajaan supaya menggiatkan usaha untuk mendidik generasi muda mengenai politik matang yang bukan berasaskan blok kepartian dan perkara-perkara penting yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button