Berita Utama

Permohonan MAIS dapatkan kebenaran rayu kembalikan status agama 5 beradik ditolak

Keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi kekal

PUTRAJAYA, 23 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Penukaran agama lima anak seorang lelaki mualaf pada 2018 tanpa persetujuan ibu bukan Islam kekal tidak sah setelah Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan Ketua Pendaftar Muallaf Selangor untuk kebenaran merayu bagi mengembalikan semula status agama Islam mereka.

Tanpa kebenaran merayu itu, keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang membatalkan penukaran agama Islam lima adik-beradik itu kekal.

Dalam keputusan sebulat suara itu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, isu yang dibangkitkan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdula, yang bertindak bagi pihak MAIS dan Ketua Pendaftar Muallaf, telah diselesaikan melalui keputusan mahkamah dalam kes penukaran agama M Indira Gandhi.

“Mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Tinggi) adalah betul dalam mengikuti keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi,” kata Hakim Tengku Maimun yang mengetuai hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Dalam kes Indira Gandhi pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama anak-anak kepada Islam.

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata, peruntukan Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dengan jelas menyatakan bahawa seseorang yang bukan beragama Islam boleh memeluk agama Islam sekiranya dia berakal dan mencapai umur 18 tahun, atau jika dia belum mencapai umur 18 tahun, ibu dan bapa mesti bersetuju dengan penukaran agama.

“Permohonan (oleh MAIS dan Ketua Pendaftar Muallaf) juga tidak memenuhi syarat Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk kebenaran diberikan,” katanya.

Beliau turut memerintahkan MAIS dan Ketua Pendaftar Muallaf membayar kos RM30,000.

MAIS dan Ketua Pendaftar Muallaf memohon kebenaran untuk merayu selepas ibu kanak-kanak itu memfailkan permohonan semakan kehakiman, antara lain memohon perintah mahkamah supaya membatalkan pendaftaran dan pengisytiharan memeluk Islam anak-anaknya itu.

Wanita berusia 33 tahun itu menamakan bekas suaminya, pengerusi MAIS, Ketua Pendaftar Muallaf Selangor, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Pada 1 November 2018, bapa kanak-kanak itu memeluk agama Islam dan pada hari yang sama turut menukarkan agama lima anaknya itu tanpa kebenaran ibu.

Pada berkenaan, anak sulung berusia 10 tahun, manakala anak yang lain berumur sembilan, enam, lima dan tiga tahun.

Ibu tersebut hanya mengetahui anak-anaknya beragama Islam selepas menerima surat daripada MAIS pada 2019, mengesahkan pendaftaran penukaran agama Islam anak-anaknya.

Semasa membenarkan semakan kehakiman ibu itu, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi adalah mengikat mahkamah rendah dan enakmen Selangor dengan jelas menyatakan bahawa ibu dan bapa perlu bersetuju dengan penukaran agama mereka itu.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button