Berita Utama

PRN Johor: Mana-mana parti jangan terlalu awal yakin mampu menang besar

Bilangan pengundi automatik beri ancaman, cabaran utama pada UMNO dan PAS

BANGI, 23 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat sebagai ‘ibu’ kepada semua PRN kerana berdepan pelbagai kemungkinan termasuk pembabitan 749,953 pengundi automatik berusia 18 tahun ke atas.

Terdapat perbezaan ketara antara PRN Johor dengan tiga PRN sebelum ini, khususnya dalam konteks kebarangkalian UMNO untuk menang dengan majoriti dua pertiga adalah rendah.

Ini termasuk isu kerjasama politik UMNO dengan PAS dan masa depan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri asal Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, katanya.

Atas sebab itu, mana-mana parti politik yang menyertai PRN Johor tidak boleh terlalu awal dengan yakin mengisytiharkan bahawa mereka mampu menang mudah dan besar, kata Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran Politik, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub. 

“Kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara dan negeri, Johor satu-satunya negeri yang berhadapan 749,953 pengundi automatik berusia 18 tahun ke atas dalam PRN kali ini. 

“Bilangan pengundi automatik ini membawa ancaman dan cabaran utama kepada parti konservatif Melayu seperti UMNO dan PAS yang kedua-dua diakui masih belum terbuka menerima pembabitan anak muda serta mengarusperdanakan aspirasi belia dalam perjuangan dan organisasi masing-masing,” katanya. 

Menulis di Berita Harian hari ini, Dr Tawfik percaya sekiranya persepsi pengundi automatik tidak ditangani dengan baik, sebuah persekitaran politik baharu berpotensi muncul bagi menggantikan praktik politik lama yang masih berpegang kukuh kepada kronisme, penaungan politik dan rasuah yang ditolak sepenuhnya kelompok pengundi berkenaan.

“Pelbagai kemungkinan boleh tercetus dalam PRN Johor. Misalnya tidak ada sebuah parti mungkin memiliki majoriti bagi membolehkan pembentukan kerajaan.

“… selain wakil rakyat dipilih dalam PRN berkenaan mungkin perlu meninggalkan parti dan membentuk gabungan kerajaan negeri baharu merentasi sempadan parti politik yang mereka wakili,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mohammad Tawfik berkata, pengaruh PAS di Johor juga tidak boleh diketepikan kerana pernah menewaskan calon daripada UMNO-BN secara solo di DUN Bukit Pasir dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, dengan majoriti 1,883 undi.

“Sudah pasti gelombang perubahan politik, pergolakan politik tempatan dan kemampuan PAS meningkatkan pengaruhnya di kawasan DUN Bukit Pasir dalam PRU14 tidak boleh dipandang remeh.

“Meskipun PAS pernah memenangi dua kerusi DUN di Johor (Sungai Abong dan Maharani) dalam PRU12, persekitaran politik ketika itu lebih memihak kepada BN berbanding gelombang politik terbesar dalam sejarah negara yang memberikan kemenangan kepada pembangkang dalam PRU14.

“Maka, kemenangan PAS di Bukit Pasir dalam PRU14 lalu lebih ‘gentleman’ ketika gelombang politik terbesar membadai Johor dan parti itu bertanding secara solo,” katanya.

Rujukan: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/01/915733/saingan-prn-johor-lebih-terbuka-cetus-pelbagai-kemungkinan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button