Berita Utama

PRN Johor: Pengundi muda tentukan kemenangan parti?

Rata-rata pengundi atas pagar masih tiada nilai kesetiaan

BANGI, 23 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dianggap sangat penting untuk dijadikan indikator dan cerminan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ini kerana, buat kali pertama dalam sejarah ia membabitkan pengundi automatik berusia 18 tahun ke atas, yakni kemunculan kuasa politik golongan muda di negara ini.

Ekoran itu, timbul persoalan parti politik atau calon mana yang menjadi pilihan pengundi muda ini.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, calon pilihan raya – golongan muda – sering cenderung untuk mengundi calon daripada kelompok rakan sebaya mereka atau calon muda.

Justeru beliau yakin, parti yang dilihat cenderung untuk mengemukakan calon baharu dan muda akan berpeluang mendapat sokongan daripada pengundi berkenaan.

“Dalam PRN Johor ini akan menyaksikan pertambahan signifikan jumlah pengundi baharu sebanyak 30 peratus, iaitu 749,731 pengundi hasil pelaksanaan Undi 18.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di Johor ialah 2.5 juta berbanding 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Ini jelas memperlihatkan cabaran kepada semua parti bertanding. Parti mana yang berjaya menarik minat pengundi muda, parti itulah yang akan memenangi PRN Johor,” katanya menulis di Berita Harian.

Dalam pada itu, beliau yakin, kemasukan pengundi muda ini akan mempengaruhi corak pengundian dan kemenangan sesuatu parti.

“Persoalan seterusnya adalah bagaimana parti politik boleh memenangi hati dan minda golongan muda ini yang rata-ratanya pengundi atas pagar dan masih tiada nilai kesetiaan kepada sesuatu parti.

“Tiga perkara utama harus dilihat iaitu isu, kaedah kempen dan calon pilihan raya.

“Apakah isu diminati golongan muda? Isu seperti peluang pendidikan dan ekonomi seperti peluang pekerjaan harus dirangka dalam manifesto parti kerana ia akan dapat menarik sokongan golongan muda,” katanya.

Selain itu, isu rasuah dan hala tuju negara juga penting kerana golongan ini mahu melihat masa depan lebih terjamin dan negara bebas rasuah.

Mohd Azizuddin berkata, bagi menarik minat mereka terhadap parti politik, kaedah kempen melalui saluran media sosial adalah sangat penting khususnya TikTok dan Instagram.

“Wacana hal ehwal semasa banyak diperdebatkan di ruangan itu,” katanya.

Rujukan;https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/01/915361/undi-18-penentu-keputusan-prn-johor-cerminan-pru-15

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button