Berita UtamaIstimewa

UMNO cakap soal maruah, tapi masih julang pemimpin bermasalah integriti?

Biarkan UMNO tanding solo PRN Johor, PAS perlu gerakkan kerjasama parti Melayu Islam lain

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Kenyataan Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa UMNO mahu bergerak solo bukan sebab tamak tetapi demi menjaga maruah, adalah ironi kerana bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan daun keladi.

Presiden Parti BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, sekiranya benar UMNO ingin menjaga maruah, mengapa semua pimpinan parti itu tidak menolak beberapa pemimpinnya yang terpalit dengan kes mahkamah. 

Sebaliknya, dakwa beliau, UMNO masih menjulang pemimpin bermasalah integriti.

“Ini yang sepatutnya dibuang oleh UMNO demi menjaga maruah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Nur Jazlan yang merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor mempertahankan keputusan UMNO negeri untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor demi kebaikan parti itu.

Keputusan itu dibuat selepas UMNO kecewa dengan PAS yang berdolak-dalik dengan kerjasama kedua-dua parti.

“Dulu UMNO dilihat macam terhegeh-hegeh, menginding-nginding mempertahankan Muafakat Nasional (MN). Tapi PAS beri macam-macam alasan, tak mengapalah. Disebabkan sikap berterusan PAS itu, UMNO Johor berpandangan lebih baik bertanding solo seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Ini bukan soal tamak kuasa ke apa tapi ini soal maruah. Dalam politik perlu ada pendirian yang teguh, pendirian tidak boleh goyah,” katanya.

Walau bagaimanapun, mengulas keseluruhan situasi, Ustaz Zamani berkata, BERJASA masih melihat bahawa PRN Johor berlaku adalah disebabkan ketamakan. 

Beliau mendakwa, tindakan menyegerakan PRN Johor juga adalah strategi untuk menyelamatkan UMNO dan beberapa pimpinan yang terpalit dengan kes mahkamah.

Manakala PAS pula dilihat masih ingin mencari kekuatan untuk menang pada PRN Johor, katanya lagi. 

Namun, tegasnya, BERJASA berpandangan bahawa adalah lebih baik PAS menjadi sebuah parti yang mampu membawa semua parti Melayu dan Islam untuk menuju ke satu persefahaman serta jalinan kerjasama demi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sudah hampir. 

“Kita tahu selain UMNO, sudah banyak parti ditubuhkan, biarkan UMNO bergerak solo untuk PRN Johor ini di masa yang sama PAS susun strategi menyatukan kerjasama dengan parti-parti sedia ada seperti BERJASA, BERSATU, PUTRA, MUDA, AMANAH, PEJUANG dan lain-lainnya. 

“Saya tahu tentu ada cabarannya kerana tidak semua parti tersebut mudah untuk dibawa ke meja perbincangan, namun usaha yang murni demi agenda agama, bangsa dan negara tentunya membuahkan hasil,” katanya.

Lebih mengukuhkan lagi keperluan kerjasama ini, katanya, adalah apabila BERJASA melihat UMNO masih berwajah lama dan tidak ada agenda agama, bangsa dan negara. 

“Agenda parti untuk parti masih kuat membelenggu hala tuju UMNO malah disendal pula dengan agenda peribadi yang tiada kesudahannya,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Zamani berkata, pihaknya mengakui bahawa UMNO akan menang atas kelemahan Pakatan Harapan (PH) dan peratus keluar mengundi yang rendah. 

“Inilah antara strategi yang hendak direbut oleh UMNO dan menyegerakan PRN Johor sebenarnya.

“Kalau benar benar demi maruah, singkirkan dahulu pemimpin yang terlibat dengan kes rasuah dan kerosakan integriti. 

“Selagi itu hidup subur dalam UMNO, janganlah bercakap demi maruah, malah bercakap demi maruah dalam keadaan masalah integriti masih teruk, itu pun tidak bermaruah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button