Pendapat

Akidah dan ilmu akidah

Imu akidah kini menjadi perbahasan ilmiah yang sempit

SAAT ini umat Islam semakin tenat dalam menghadapi isu kecelaruan akidah. Tambahan lagi, para ustaz/ustazah hanya sibuk membahaskan ilmu akidah yang telah lama dibahaskan dan berulang-ulang sehingga menghilangkan maksud ilmu akidah itu sendiri untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dan untuk mengakui keagungan Allah sebagaimana yang dirasai oleh generasi awal umat Islam. Bersama ini, saya sertakan penulisan ringkas oleh Ustaz Fauzi Asmuni mengenai akidah dan ilmu akidah untuk kefahaman kita bersama.

Akidah dan ilmu akidah

Sejak kebelakangan ini, umat Islam semakin kerap bertelagah mengenai isu akidah sehingga mereka mensyirikkan antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain akibat bertentangan kefahaman tentang ilmu akidah.

Akidah ialah kepercayaan yang mendasari kehidupan manusia dan bukan sekadar satu perbincangan ilmu tentang ketuhanan, alam ghaib dan sebagainya. Perbuatan mengehadkan akidah kepada perbincangan beberapa topik ilmu ketuhanan dan sebagainya adakalanya boleh membantutkan penanaman akidah yang menjadi asas ketaqwaan seseorang muslim.

Generasi awal memegang al-Quran dan as-Sunnah, meneliti satu persatu ayat dan nas lalu meresaplah keyakinan tertentu di dalam jiwanya lalu membawa kepada satu cara fikir dan tindakan yang selari dengan keyakinannya.

Sebagai contoh, keyakinan akidah yang jelas dalam kisah Saidina Bilal yang tetap mempertahankan akidahnya dengan ucapan Kalimah ‘Ahad’ walaupun badannya dihempap dengan batu di atas padang pasir yang panas terik. Apabila dia membaca surah pertama iaitu al-Fatihah, masuk ke dalam jiwanya kebesaran Allah Tuhan sekalian alam.

Kalau alam yang luas ini pun hebat, apatah lagi Allah Tuhan sekalian alam, sudah tentu berkali-kali ganda lagi hebat. Kehebatan Allah meresap ke dalam jiwanya lalu menjadikan dia tunduk kepada Allah kerana kerana dia tahu dia amat kerdil.

Apabila membaca surah al-Baqarah, dia terjumpa pula ayat tentang kisah Yahudi. Maka, meresap ke dalam hatinya akan kemurkaan Allah kepada Yahudi, lalu dia pun membenci Yahudi dan memahami sebab Yahudi jahat sehingga ke hari ini.

Apabila dia membaca surah al-An’am pula, dia terjumpa ayat-ayat tentang makanan yang diharamkan. Oleh itu, masuk pula ke dalam jiwanya ketakutan terhadap kemurkaan Allah lalu dia meninggalkan makanan yang dilarang itu.

Begitu juga dengan semua ayat yang lain. Semua ayat memberikan keyakinan kepadanya sehingga menimbulkan kepercayaan tertentu yang kita panggil akidah. Kepercayaan yang wujud akan membentuk cara fikir dan tindakan. Dari situ lahirlah sistem hidup dan sebagainya. Proses menanamkan akidah ke dalam jiwa manusia ada dalam semua ilmu yang sekarang sudah terpecah-pecah. Ianya ada di dalam ilmu Tauhid, ilmu Fiqh, dan Tasawwuf.

Ilmu akidah yang menjadi perbalahan orang ramai sekarang pula hanyalah merupakan satu perbincangan ilmiah tentang proses penanaman akidah yang menyeluruh tadi.

Perbincangan ilmiah itu tidak menanamkan akidah secara langsung tetapi hanya menjawab beberapa persoalan bagi topik-topik tertentu.

Apabila terdapat ustaz/ustazah yang memaksa umat Islam untuk memilih sama ada berakidah dengan sifat 20 atau berakidah dengan tauhid tiga serangkai, itu ialah satu penyelewengan yang merencatkan penanaman akidah ke dalam diri umat Islam.

Sifat 20 ialah satu perbahasan akidah sahaja. Ianya timbul sesuai dengan zaman falsafah Yunan untuk menguasai pemikiran umat Islam pada zaman itu. Persoalan tentang zat Tuhan menjadi perbahasan dan orang ramai susah untuk memahami sifat Tuhan kecuali jika ianya dibentangkan dengan metodologi falsafah.

Sifat 20 yang dipelajari oleh orang ramai sekarang tidak begitu selari dengan perbincangan falsafah seperti yang dibincangkan pada zaman Asyairah/Maturidi dulu. Umat Islam sekarang hanya menyenaraikan 20 sifat tanpa perbahasan seperti tanjizi hadith, tanziji qadim dan sebagainya. Sifat 20 ini terbatas kepada persoalan apakah sifat Tuhan?

Tauhid tiga serangkai pula muncul selepas itu kerana permasalahan baru yang dibincangkan iaitu tentang hak Allah. Allah sebagai Rabb dan sebagai Ilah (Tauhid Rububiah dan Uluhiah). Allah sebagai pencipta merupakan pemilik yang hak sebagai Tuhan yang wajib disembah dan ditaati. Zaman sifat 20, manusia murtad kerana tidak mengenali sifat Tuhan.

Lalu ulama’ menerangkan sifat Tuhan sesuai dengan akal manusia pada masa itu, namun Zaman Tauhid tiga serangkai manusia murtad kerana mengiktiraf Allah sebagai pencipta tetapi tidak memberikan hak Allah sebagai Tuhan yang wajib disembah dan ditaati. Oleh sebab itu, ulama’ menerangkan Tauhid Uluhiah dan Tauhid Rububiah.

Pada masa sebelumnya, telah dibincangkan kalam Allah adakah makhluk atau sifat Allah? Hal ini disebabkan pada waktu itu manusia murtad dalam isu kalam Allah sehingga ilmu tauhid pernah dipanggil ilmu kalam.

Manusia pernah murtad kerana keliru dalam masalah takdir, adakah ianya kuasa Allah atau kuasa manusia untuk menentukan takdir. Lalu ulama’ memperincikan perbezaan antara ilmu, iradah, khalqu dan masyi’ah untuk menerangkan takdir.

Maka, muncullah pula kumpulan Jabariah dan Qadariah sebagai dua mazhab paling ekstrem dalam isu takdir. Oleh yang demikian, sifat 20, tauhid tiga serangkai, ilmu kalam dan qadariah/jabariah hanyalah perbahasan topik-topik semasa pada zaman itu tentang isu-isu akidah. Tidak perlu untuk memaksa umat Islam berakidah dengan salah satu daripada yang tersebut.

Zaman sekarang pula, isu akidah bukan lagi sifat 20 dan sebagainya tetapi isu wehdatul wujud dalam bentuk moden yang melahirkan fahaman liberal bahawa semua agama sama.

Kesimpulanya, ilmu akidah kini telah menjadi perbahasan ilmiah yang sempit sedangkan akidah itu sendiri ialah proses yang menyeluruh dan menyentuh banyak aspek ilmu.

Tuan Haji Mohd Tahir Hamdan
Ketua Perhubungan ISMA Negeri Johor

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button