Berita Utama

Boleh perkenal semula GST syaratnya…

Pertimbang kadar terendah 2 atau 3 peratus untuk permulaan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 24 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Semua pihak wajar menyambut baik sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), setelah tiga tahun sistem percukaian itu dimansuhkan di Malaysia.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, GST adalah antara sistem percukaian yang baik kerana ia membabitkan kutipan semasa berbanding cukai lain yang mempunyai tempoh tertentu.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan supaya pelaksanaan semula sistem percukaian itu ditambah baik menerusi tiga syarat utama, bagi mengelakkan bebanan kepada rakyat yang masih ‘bergelut’ memperbaiki ekonomi masing-masing akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir, baru-baru ini.

“Pada pandangan saya, elok dan boleh diperkenalkan semula GST dengan syarat, kerajaan mesti mempertimbangkan kadar yang lebih rendah berbanding 6 peratus dikenakan sebelum ini.

“Saya cadangkan kerajaan mempertimbang untuk mengenakan setakat 2 atau 3 peratus sahaja bagi kadar baharu nanti,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan ketika mula memperkenalkan GST dahulu, pernah memberi bayangan untuk hanya menetapkan pada kadar 4 peratus, namun berubah menjadi 6 peratus apabila ia mula dikuat kuasakan.

“Saya rasa keputusan itu menjadi kejutan kepada rakyat kerana daripada 4 peratus, tiba-tiba menjadi 6 peratus. Sedangkan negara-negara lain seperti Singapura pun mula dengan kadar rendah seperti 2 peratus, kemudian dinaikkan secara berperingkat.

“Kadar cukai tinggi itu bukan berlaku dalam masa dua ke tiga tahun, ia memakan banyak tahun dan peningkatan itu mesti progresif,” katanya.

Dr Abu Sofian berkata, kerajaan wajar memberikan tempoh minimum sehingga tiga tahun sebelum menyemak semula keperluan menaikkan kadar sistem percukaian itu.

“Ini kerana sekarang kita dalam proses memulihkan ekonomi, dengan bencana dan pandemik. Banyak faktor perlu diambil kira, khususnya kesusahan rakyat.

“Jadi sekurang-kurangnya untuk tiga tahun, paling kurang baru boleh disemak semula untuk mengenakan kenaikan atau kadar baharu yang lebih munasabah,” katanya.

Dr Abu Sofian turut mencadangkan supaya pelaksanaan semula GST kali ini, tidak dikenakan ke atas semua barangan keperluan, sebaliknya hanya membabitkan barangan mewah dan jarang dibeli oleh pengguna.

“Selain itu, kita minta kerajaan juga perbaiki sistem kutipan dan pemulangan rebat kerana dulu ada aduan, peniaga lambat dan tidak mendapat rebat mereka.

“Semak semula sistem baharu nanti supaya ia memudahkan dan user friendly, agar semua senang berurusan serta tiada isu ‘double claim’. Jangan jadi seperti RFID, nak lulus segera, tetapi sistem kelam kabut,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz memberi bayangan pelaksanaan GST berkemungkinan bakal diperkenalkan semula bagi membendung masalah ketirisan cukai.

Tengku Zafrul berkata, meskipun perbandingan hasil kutipan antara GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih kurang sama, dari segi praktikal GST lebih efisien kerana penipuan cukai sukar dilakukan.

Dedah beliau, hasil kerajaan merosot sebanyak RM20 bilion apabila SST kembali diperkenalkan, walaupun harga barangan kesan pengenalan semula SST adalah sama dengan GST.

GST kali pertama dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015.

GST kemudiannya digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan apabila ia digantikan dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button