Berita Utama

ISMA, MAPPIM, GAPENA fail rayuan cabar keabsahan sekolah vernakular

Harap rayuan dapat perjelas kedudukan isu Perlembagaan

BANGI, 24 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mencabar keabsahan sekolah vernakular.

Rayuan itu difailkan peguam yang mewakili Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Ia bagi mencabar keabsahan sekolah vernakular kerana membelakangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Rayuan-rayuan itu difailkan masing-masing pada 25, 26 dan 27 Januari.

Peguamcara bagi MAPPIM, GAPENA dan ISMA, Tetuan Amelda Fuad Abi dan Aidil serta Tetuan Hariz Syakinah & Co, berkata, alasan utama Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) adalah sah ialah kerana mahkamah berpendapat, bahawa kedua-dua entiti itu bukan ‘pihak berkuasa awam’.

Justeru, urusannya bukan urusan rasmi dan dengan yang demikian ianya tidak berkewajiban di sisi Perlembagaan untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam proses pengajaran serta pembelajaran.

“Justeru, rayuan di Mahkamah Rayuan nanti akan mencabar dapatan di Mahkamah Tinggi itu serta diharapkan akan dapat menentukan persoalan undang-undang, sama ada SJKC dan SJKT yang ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan dan mendapat dana serta sumber awam, adalah sebenarnya badan awam ataupun tidak (selain dari isu perundangan dan Perlembagaan lainnya),” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Katanya lagi, pihak peguamcara juga telah diarahkan untuk menegaskan bahawa ketiga-tiga NGO terbabit menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan atau mana-mana bahasa lain di dunia termasuk Jepun, Korea dan lain-lain melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa itu sebagai satu mata pelajaran.

“Bagaimanapun, MAPPIM, GAPENA dan ISMA menolak mana-mana bahasa asing itu dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam. Ini kerana ianya bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi.

“Justeru diharapkan rayuan ini akan dapat memperjelas kedudukan isu Perlembagaan dan tidak dijadikan sebagai isu perkauman oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa SJKC dan SJKT di seluruh Malaysia adalah sah di sisi Perlembagaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button