Berita Utama

Kafa Ihsan bakal diperkenal di sekolah menengah

Fokus kepada nilai tambah pembinaan peribadi pelajar

KOTA KINABALU, 24 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Sebuah modul Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) Ihsan akan diperkenalkan kepada semua pelajar sekolah menengah dalam tempoh terdekat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Beliau berkata, modul Kafa Ihsan itu kini masih dalam proses penilaian akhir pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum diumumkan untuk pelaksanaan.

“Kafa Ihsan tidak diwajibkan dan hanya sebagai mata pelajaran pilihan kepada pelajar namun mereka adalah digalakkan untuk mengambil mata pelajaran berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Multaqa Murabbi Ummah, peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Mufti kerajaan negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz.

Mengulas lanjut, Idris berkata, modul Kafa Ihsan berbeza daripada mata pelajaran Pendidikan Islam kerana ia lebih memfokuskan kepada nilai tambah pembinaan peribadi pelajar dan kepimpinan selain soal-soal ibadah.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata, secara keseluruhannya kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM58,546,046 kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kafa negeri Sabah pada tahun ini.

Katanya, bermula Januari tahun ini juga guru Kafa wanita yang bersalin layak diberikan cuti selama 60 hari dengan dibayar elaun berbanding sebelum ini mereka hanya layak cuti bersalin tetapi tidak dibayar elaun.

“Ini adalah usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan guru-guru Kafa sepanjang kontrak mereka berkuat kuasa dengan agensi pelaksana Kafa negeri,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button