Dunia

Lebih 50 juta terjejas teruk akibat perang bandar

Ramai mangsa cacat kekal, trauma psikologi seumur hidup

GENEVA, 24 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Lebih 50 juta orang kini terjejas akibat pertempuran di dalam kawasan bandar di seluruh dunia, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB), Antonio Guterres. 

Beliau berkata, apabila senjata letupan digunakan di kawasan berpenduduk, 90 peratus daripada mereka yang terbunuh tidak memainkan peranan dalam mencetuskan keganasan. 

Katanya, ramai mangsa menghadapi kecacatan kekal dan trauma psikologi yang serius seumur hidup mereka. 

“Orang awam boleh mengalami kemudaratan yang teruk untuk jangka masa pendek dan dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap pada pembukaan perbahasan Majlis Keselamatan PBB mengenai cara melindungi orang awam terperangkap konflik.

Guterres turut merujuk kepada banyak sekolah dan kemudahan penjagaan kesihatan yang rosak ketika pertempuran antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza tahun lalu, di mana hampir 800,000 orang dibiarkan tanpa akses kepada air paip. 

Di Afghanistan, katanya, serangan letupan di luar sekolah tinggi Kabul pada Mei lalu membunuh 90 pelajar, terutamanya perempuan dan menyebabkan 240 yang lain cedera. 

“Di sebalik kesakitan dan penderitaan serta-merta, kesan kerosakan kepada sekolah secara tidak langsung menganggu sektor pendidikan dan mendorong peningkatan kemungkinan perkahwinan awal serta penyertaan ke dalam kumpulan bersenjata.

“Peperangan bandar memaksa berjuta-juta orang meninggalkan rumah mereka, sekali gus menyumbang kepada rekod pelarian dan mereka yang tiada tempat tinggal,” kata Guterres. 

Katanya, akauntabiliti untuk pelanggaran serius adalah penting dan menggesa negara anggota untuk menunjukkan kemahuan politik bagi menyiasat serta mendakwa jenayah perang ke tahap maksimum. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button