Berita Utama

Pengguna diminta rancang perjalanan jika mahu ke Pantai Timur

Aliran trafik dijangka meningkat sempena Tahun Baru Cina

BANGI, 24 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Pengguna yang mahu melakukan perjalanan ke Pantai Timur disarankan merancang perjalanan mengikut cadangan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau ANIH Berhad.

Ini kerana, jumlah aliran trafik yang tinggi ke arah Pantai Timur membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan dijangka berlaku sempena sambutan Tahun Baru Cina pada Selasa depan.

Syarikat konsesi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad menjangkakan jumlah trafik meningkat memandangkan sambutan itu adalah kali pertama sejak dua tahun lalu masyarakat Cina dibenarkan merentas negeri bagi menyambut perayaan berkenaan bersama keluarga tercinta.

Pengurus Besar Kanannya, Radzimah Mohd Radzi berkata, pihak syarikat sudah mengagihkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bersama 1,400 penutup muka sejak 25 Januari lalu di plaza tol sepanjang KLK dan LPT1 bagi memberikan maklumat awal kepada para pengguna.

“Kami juga telah meningkatkan kekerapan jadual sanitasi dan pembersihan di semua kemudahan awam di hentian rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

“Kami juga memastikan kepatuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) pergerakan yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi menyokong usaha mengurangi penularan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

ANIH Berhad turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan optimum dan mempunyai baki kad Touch N’ Go yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di pusat tambah nilai.

Pengguna juga diingatkan untuk memandu dengan berhati-hati, menjaga jarak selamat kenderaan di lebuh raya dan berhenti untuk rehat sekiranya perlu di mana-mana R&R serta hentian sebelah di sepanjang perjalanan.

“Bagi mereka yang bakal melakukan perjalanan menggunakan KLK dan LPT1, maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini tentang keadaan trafik boleh diperolehi dari laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia atau ANIH Berhad di Twitter atau hubungi hotline LLM di 1800- 88-7752 dan LPT – Line di 09 5479111/1-700-818-700. 

“Pengguna LPT2 boleh mendapat maklumat trafik melalui Twitter @LPT2Trafik, papan tanda elektronik di sepanjang lebuh raya atau menghubungi LPT2Line di talian 1800 88 0220,” kata kenyataan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button