Berita Utama

PRN Johor: PKR, PAN tanding 20 kerusi, DAP 16 kerusi

PH sedia pertimbang kerjasama dengan Muda, Pejuang

JOHOR BAHRU, 24 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Parti komponen Pakatan Harapan (PH) PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) masing-masing akan bertanding 20 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, sementara DAP akan bertanding di 16 kerusi.

Peruntukan kerusi yang diumumkan oleh Presiden PAN, Mohamad Sabu kali ini meningkat berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 apabila PKR dan Amanah bersaing untuk masing-masing 12 kerusi dan DAP, 14.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga adalah sebahagian daripada PH ketika itu dan bertanding di 18 kerusi.

Mohamad Sabu berkata, peruntukan kerusi itu telah dimuktamadkan pada mesyuarat majlis presiden PH, semalam (26 Januari).

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Raja itu menyatakan bahawa walaupun kerusi telah diputuskan, mereka juga terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan PH pada pilihan raya akan datang.

“Jika mereka mempunyai peluang untuk menang, ketiga-tiga komponen Pakatan akan mengadakan perbincangan bersama mengenainya sebelum membuat keputusan,” katanya pada sidang media selepas bertemu orang ramai dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim di Permas Jaya di sini.

Mohamad berkata, PH bersedia untuk mempertimbangkan Pakatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Sementara itu, Pengerusi PAN negeri, Aminolhuda Hassan berkata, senarai calon parti untuk pilihan raya Johor juga telah dimuktamadkan.

“Daripada 20 itu, enam calon dikekalkan (dari PRU14) manakala 14 lagi muka baharu, ada antaranya calon muda.

“Senarai itu telah disusun dan kita hanya menunggu kelulusan daripada jawatankuasa pusat,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 22 Januari lepas atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button