Berita Utama

SOP umrah baharu dimuktamad setelah diperhalusi: Nancy

Kuarantin jemaah antara perkara yang sedang diteliti

PUTRAJAYA, 24 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Prosedur operasi standard (SOP) ibadah umrah baharu akan dimuktamadkan setelah diperhalusi dan dipersetujui beberapa agensi berkaitan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata SOP berkaitan kuarantin jemaah umrah adalah antara perkara yang sedang diteliti dengan mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Pengurusan Bencana dan Kementerian Kewangan kerana urusan kuarantin bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) telah menyiapkan SOP terbabit namun kita perlukan input seperti dari KKM,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan Busana Tradisional Malaysia di sini hari ini.

Semalam kerajaan mengumumkan umat Islam di negara ini boleh kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb ini selepas ditangguhkan sementara pada 8 Jan lepas susulan peningkatan varian Omicron COVID-19 dalam kalangan jemaah.

Mengenai tuntutan ganti rugi jemaah umrah yang terkesan akibat penangguhan tersebut, Nancy berkata pihaknya sedang mengadakan sesi perbincangan Lembaga Tabung Haji (TH) berkaitan mekanisme pembayaran.

Terdahulu dalam ucapannya sempena majlis tersebut, Nancy berkata inisiatif Diplomasi Budaya Bagi Memperkasakan Aktiviti Seni, Budaya dan Warisan Negara itu merupakan program kerjasama dengan Kementerian Luar bertujuan mempromosikan budaya Malaysia di semua kedutaan di luar negara.

Beliau berkata lima set busana tradisional Malaysia akan diserahkan ke 10 pejabat kedutaan dan pesuruhjaya tinggi Malaysia antaranya di Paris, London, Bangkok, Tokyo dan Beijing.

“Besar harapan MOTAC agar program diplomasi budaya ini akan meningkatkan penghayatan dan peranan duta-duta Malaysia di luar negara bagi mempromosikan seni serta budaya negara. Ia juga dapat mengukuhkan kolaborasi budaya dengan negara luar,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button