Berita Utama

Arab Saudi isytihar 22 Februari hari penubuhannya

Jadi cuti umum bagi memperingati penubuhan pada 1727

RIYADH, 25 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan 22 Februari setiap tahun sebagai hari cuti umum bagi memperingati penubuhan negara itu pada 1727 oleh Imam Muhammad bin Saud, bapa pengasas negara itu.

Menurut kenyataan istana Arab Saudi yang dipetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Khamis, peringkat pertama penubuhannya bermula pada 1139 Hijrah bersamaan tahun 1727 Masihi dan diteruskan hingga tiga peringkat.

Bandar Ad Diriyah telah dijadikan ibu negara Arab Saudi pada waktu penubuhannya dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW menjadi perlembagaannya.

Peringkat pertama penubuhan Arab Saudi telah berakhir pada 1233 Hijrah bersamaan 1818 Masihi di mana ia berjaya mewujudkan perpaduan dan perdamaian di Semenanjung Arab selepas perpecahan dan ketidakstabilan selama beberapa abad, kata kenyataan itu.

“Setelah tujuh tahun berlalu iaitu pada 1240 Hijrah bersamaan 1824 Masihi, Imam Turki bin Abdullah Al Saud telah meneruskan usaha peringkat kedua dalam menubuh dan membangunkan Arab Saudi.

“Peringkat penubuhan dan pembangunan Arab Saudi kedua telah berlangsung sehingga tahun 1309 Hijrah bersamaan 1891 Masihi,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, 10 tahun selepas itu iaitu pada 1319 Hijrah bersamaan 1902 Masihi, Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman Al Faisal Al Saud mengetuai peringkat ketiga penubuhan Arab Saudi.

Raja-raja daripada keturunan baginda kemudiannya telah meneruskan legasi Raja Abdul Aziz dalam pembangunan Kerajaan Arab Saudi sehingga menjadi sebuah negara beraja yang kita kenali hari ini, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button