Berita Utama

Bekas pengetua maahad hadapi 15 kes amang seksual terhadap pelajar

Mahkamah tidak benarkan tertuduh diikat jamin

IPOH, 25 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Seorang bekas pengetua maahad tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar lelakinya, tahun lepas.

Azizul Yahya, 30, yang memakai jubah hijau dan berkopiah putih, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut kertas pertuduhan, Azizul menghadapi 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun manakala satu pertuduhan menunjukkan video lucah kepada mangsa sama.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah maahad di Batu Gajah, antara Februari sehingga Oktober 2021 mengikut Seksyen 14(a), 14(b), 14(d) dan 15 (e) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana dikhuatiri akan mengganggu saksi-saksi kes itu.

Peguam Muhamad Shahrul Nizam Mohd Radi yang mewakili Azizul memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya.

“Anak guam saya telah memberikan kerjasama baik dari awal hingga akhir siasatan polis. Sejak Oktober lepas hingga hari ini, anak guam saya tidak lagi bertugas di maahad tersebut.

Malah sepanjang siasatan, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung wujudnya kacau ganggu terhadap saksi,” katanya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Februari untuk sebutan semula kes.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Muhamad Shahrul Nizam berkata pihaknya akan menfailkan semakan terhadap keputusan yang tidak membenarkan jaminan terhadap anak guamnya yang belum berkahwin itu ke Mahkamah Tinggi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button