Berita Utama

Harga arang batu dunia akan pengaruhi kadar baharu tarif elektrik: Pakar

Krisis harga bahan api disebabkan permintaan yang melebihi bekalan

KUALA LUMPUR, 25 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Peningkatan harga arang batu dunia dijangka akan mempengaruhi kadar tarif elektrik baharu yang bakal diumumkan kerajaan tahun ini bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Justeru pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia Prof Madya TS Dr Anuar Shah Bali Mahomed tidak menolak kemungkinan akan ada kenaikan kadar tarif elektrik kepada industri yang memperoleh keuntungan luar biasa sebelum ini kerana permintaan terhadap bahan api itu lebih tinggi berbanding pengeluaran.

“Ini juga disebabkan kebergantungan negara kita dalam mengimport arang batu,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Pada 9 Januari lepas, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengeluarkan kenyataan berhubung semakan semula tarif elektrik mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dengan umumnya menganggap akan berlaku kenaikan.

Tanggapan itu diperkuat oleh kenyataan menteri berkenaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa tarif baharu untuk tempoh tiga tahun akan datang itu “tidak membebankan rakyat” selain memberi manfaat khusus kepada hampir 85 peratus daripada lapan juta pemilik akaun domestik di seluruh negara.

Semalam, Takiyuddin berkata kadar tarif elektrik negara ini bagi tempoh 2022 sehingga 2024 yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan Kabinet sebanyak enam kali berhubung perkara berkenaan.

Jelas Anuar Shah, krisis harga bahan api semasa adalah disebabkan permintaan yang melebihi bekalan, lebih-lebih lagi selepas Indonesia mengumumkan larangan eksport arang batunya pada 1 Januari lepas yang memberi kejutan bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga seluruh dunia.

Menurut laporan, pasaran arang batu dunia mencatatkan harga tertinggi pada Oktober tahun lepas iaitu US$270 satu tan, dan setakat 27 Januari lalu, harga bahan api itu berada pada paras US$227.60 satu tan. (US$1=RM4.19).

Arang batu dan gas asli digunakan untuk menjana hampir 93 peratus elektrik di Semenanjung Malaysia, kos yang membentuk hampir 36 peratus daripada tarif elektrik asas pada masa ini.

Buat masa ini, Malaysia masih amat bergantung kepada penjanaan tenaga daripada arang batu dan membeli sebahagian besar keperluannya dari Indonesia (63 peratus), diikuti Australia (24 peratus), Rusia (11 peratus), dan Afrika Selatan (dua peratus).

Malaysia juga menggunakan campuran bahan api yang pelbagai iaitu arang batu sebanyak 47 peratus, gas asli (41 peratus) serta tenaga boleh baharu (TBB) dan hidro (12 peratus) dalam sektor penjanaan elektrik.

Bagaimanapun, Anuar Shah berkata kerajaan boleh mengurangkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan tarif elektrik bagi golongan B40 dan M40 dengan menyasarkan kenaikan itu ke atas perniagaan berpendapatan luar biasa semasa penularan pandemik COVID-19.

Sementara itu, menjelaskan mengenai tarif elektrik, Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia Prof Ir Dr Mohammad Yusri Hassan berkata, kali terakhir tarif elektrik di negara ini disemak ialah pada 1 Januari 2014, selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah mengalihkan kaedah pemberian subsidi tenaga secara berperingkat melalui Program Rasionalisasi Subsidi.

Beliau berkata 70.7 peratus (4.6 juta) pelanggan domestik tidak terjejas kerana tiada kenaikan tarif untuk 200 per kilowatt jam (kWj) pertama penggunaan bulanan sejak 1997 dan tiada kenaikan tarif bagi mereka yang menggunakan elektrik antara 201kWj dan 300kWj sebulan sejak 2009.

“Selain itu, rebat daripada kerajaan kepada pelanggan yang mempunyai bil bulanan RM20 ke bawah masih dikekalkan dan jalur tarif domestik dikurangkan kepada lima jalur berbanding sembilan jalur untuk pemahaman yang lebih baik mengenai bil tersebut,” katanya.

Metodologi penetapan tarif elektrik adalah berdasarkan rangka kerja kawal selia ekonomi yang dikenali sebagai Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga untuk meningkatkan kecekapan operasi dan ketelusan ke arah bekalan elektrik yang mampan, kata Mohammad Yusri.

“Metodologi lain ialah melalui Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), mekanisme di bawah rangka kerja IBR yang membolehkan Tenaga Nasional Berhad sebagai syarikat utiliti membuat perubahan (sama ada kenaikan atau pengurangan) terhadap kos bahan api dan kos berkaitan penjanaan lain dalam tarif elektrik bagi setiap enam bulan,” katanya.

Katanya, tarif sedia ada adalah untuk pelanggan domestik, komersial serta industri dan terdapat beberapa kriteria yang mempengaruhi tarif elektrik antaranya ialah dasar kerajaan berkaitan tenaga, bahan api gas dan harga arang batu; kos pembelian tenaga daripada penjana bebas dan kesan kepada sosioekonomi untuk pengguna.

Mohammad Yusri berkata, kadar tarif baharu yang akan diumumkan tidak akan membebankan pengguna domestik.

“Ia akan melibatkan pengubahsuaian dalam tarif untuk pengguna industri dan komersial,” tambahnya.

Untuk rekod, pada 2017, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata semakan semula tarif elektrik bagi Semenanjung Malaysia seterusnya adalah pada Januari 2018, namun ia tidak menjadi kenyataan mungkin atas sebab tertentu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button