Berita UtamaIstimewa

Sekolah Cina tolak 1,208 guru BM KPM, diganti calon ‘walk in’?

Turut tolak pelantikan guru besar gara-gara tiada sijil UEC?

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 25 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Sikap mahu kekal hidup dalam kalangan sesama sendiri merupakan ‘tembok besar’ yang menyukarkan usaha dijalankan bersama sekolah Cina.

Malah, disebabkan sikap tersebut juga, sekolah Cina pernah bertindak ‘derhaka’ susulan enggan menerima penempatan guru baharu pilihan Kementerian Pendidikan (KPM).

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raouf Husin mendedahkan, seramai 1,208 guru bahasa Melayu pernah ditolak untuk mengajar di sekolah Cina.

Dedahnya, lebih melampau apabila guru yang ditolak itu digantikan dengan guru baharu diambil secara ‘walk in’.

“Pihak sekolah Cina ini pernah menolak 1,208 guru yang mempunyai opsyen bahasa Melayu daripada pelbagai kaum ke sekolah Cina, sebaliknya pengurusan sekolah berkenaan membuat pengambilan secara ‘walk in’ dalam kalangan kaum mereka.

“Keadaan ini jelas menunjukkan mereka tidak mahu membuka tembok tersebut seolah-olah mahu kekalkan hidup sesama sendiri,” dakwanya kepada Ismaweb.net.

Dakwanya lagi, keadaan itu dilakukan semata-mata mahu mengekalkan sekolah Cina dikuasai oleh kaum mereka sahaja dengan tidak memberi peluang kepada pihak lain memasuki institusi berkenaan.

Abdul Raouf menjelaskan, tindakan mementingkan diri itu dilihat hanya menjahanamkan lagi mutu bahasa Melayu berikutan mereka yang mengajar bukan dalam kalangan individu terlatih.

Lebih mengecewakan lagi, dakwa beliau, sekolah Cina memiliki kuasa untuk menetapkan individu tertentu yang boleh berpindah ke sekolah berkenaan.

Ini selepas pengurusan sebuah sekolah Cina di Perak pernah menolak seorang guru besar semata-mata kerana tidak memiliki asas pendidikan sekolah Cina selain tiada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Lebih dahsyat lagi, dakwanya, guru besar berkenaan kemudian segera dipindahkan dan digantikan dengan calon lain yang memiliki kesemua kelayakan dimahukan.

“Ini jelas membuktikan golongan ini terlalu mengutamakan perkauman mereka sehingga sanggup bertindak sedemikian,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button