Berita Utama

27 penyeludup dadah ditembak mati ketika seberang ke Jordan

Sejumlah besar penyeludup bawa amphetamine dari Syria

AMMAN, 25 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Tentera Jordan membunuh sekurang-kurangnya 27 penyeludup dadah bersenjata ketika mereka menyeberangi sempadan dari Syria dalam ribut salji, semalam.

Reuters melaporkan, tentera berkata penyeludup lain yang juga membawa dadah melarikan diri kembali ke Syria semasa cubaan menyeberang.

Beberapa orang lagi dalam kalangan penyeludup, yang ‘disokong oleh kumpulan bersenjata lain’, telah cedera, kata tentera dalam satu kenyataan.

“Kami akan menyerang dengan kuku besi…mereka yang berani berfikir untuk mengganggu keselamatan negara kita,” kata kenyataan tentera itu.

Ia tidak menyatakan di mana sepanjang 370 kilometer sempadan dengan Syria pencerobohan itu berlaku tetapi sumber Syria berkata, kejadian berlaku di kawasan timur laut bandar Mafraq di Jordan.

Beberapa kumpulan penyeludup dilindungi kabus tebal melintasi sempadan dengan berjalan kaki, sebelum arahan diberikan untuk menembak di lokasi dalam satu serangan hendap yang dibuat oleh tentera, kata sumber Syria kepada Reuters.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 80 penyeludup bersenjata terlibat dalam operasi besar-besaran itu, manakala kira-kira 50 orang hilang dan dipercayai mati, menurut satu lagi sumber Syria.

Persimpangan sempadan utama Jordan dengan Syria, laluan serantau utama yang membawa perdagangan berbilion dolar untuk negara-negara di seluruh rantau ini, juga telah digunakan untuk menyeludup dadah yang tersembunyi di dalam trak Syria menuju ke pasaran Teluk yang menguntungkan.

Dadah itu kebanyakannya adalah amphetamine yang dikenali sebagai Captagon. 

Syria yang dilanda perang telah menjadi tapak pengeluaran utama di rantau itu untuk perdagangan berbilion dolar yang menuju ke Jordan, Iraq dan Eropah.

Perdagangan dadah haram membiayai peningkatan kumpulan militan dan pasukan separa tentera pro-kerajaan yang telah mencetuskan konflik selama sedekad di Syria, dakwa pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diplomat Barat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button