Berita UtamaDunia

Azerbaijan tambah bekalan gas asli kepada Turki

Iran tangguh bekalan kerana masalah teknikal di stesen janakuasa

BAKU, 25 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Azerbaijan menambah bekalan gas asli kepada Turki minggu ini ketika Iran menghentikan bekalan atas alasan masalah teknikal yang di alami.

Wakil rasmi syarikat minyak Azerbaijan (SOCAR), Ibrahim Ahmedov berkata, Turki memohon tambahan bekalan gas asli bagi menampung kekurangan bekalan di negara itu.

“Permintaan yang diterima Turki dipertimbangkan dan kami bersedia untuk menambahkan bekalan dari Azerbaijan ke Turki,” katanya.

Minggu lalu, Iran menghentikan bekalan ke Turki dalam tempoh 10 hari berikutan masalah teknikal di stesen janakuasa sekali gus menyebabkan gangguan serius memaksa syarikat-syarikat pengeluaran di Turki menangguhkan operasi.

Iran sebelum ini, menyediakan 16 peratus daripada keseluruhan bekalan gas ke Turki sepanjang Januari hingga Oktober 2021.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Turki mendakwa, bekalan yang disalurkan lebih rendah berbanding perjanjian kontrak iaitu 28 juta meter padu, iaitu kurang 988 meter padu bekalan setiap hari.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turki, Fatih Dönmez berkata, Iran gagal memenuhi beberapa syarat teknikal yang berkaitan dengan perjanjian dalam kontrak gas asli dengan Turki.

Ankara menuntut agar kes itu diselesaikan dalam beberapa hari akan datang dan memberi amaran bahawa ia mungkin mendapatkan timbang tara antarabangsa jika diperlukan.

Turki sehingga kini masih bergantung pada import bekalan gas asli dari Russia, Iran dan Azerbaijan.

Malah, Turki membeli hampir keseluruhan bahagian 40-50 bcm penggunaan gas tahunannya daripada pasaran asing.

Pada 2019, import keseluruhan gas asli ialah 48.6 bcm, menurut data Januari 2020 yang disusun oleh EMRA, dan Ankara telah membayar AS$12 bilion untuk import bekalan gas, setiap tahun. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button