Berita Utama

DAP makin kurang sokongan pengundi Cina?

Penyokong parti kecewa UEC tak diiktiraf ketika DAP dalam kerajaan Persekutuan

GEORGETOWN, 25 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Parti DAP kini semakin kurang diminati orang Cina selepas kegagalannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak, baru-baru ini.

Penganalisis, James Chin dari Universiti Tasmania berkata, keadaan itu membuatkan beberapa parti – termasuk dua yang kurang dikenali – ketika ini mengintai Pulau Pinang kerana penyokong DAP dilihat semakin hilang minat kepada parti itu.

Katanya, rasa tidak puas hati itu bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi di seluruh negara seperti yang ditunjukkan dalam kekalahan parti itu di PRN Melaka dan Sarawak.

“Salah satu sebab penyokong Cina parti itu tidak gembira adalah kerana Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) tidak diiktiraf – walaupun Pakatan Harapan, yang dianggotai DAP, dalam kuasa Persekutuan sebelum ini.

“Kekecewaan lain ialah rasa tidak senang mereka terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dasar yang menjejaskan masyarakat. Desakan DAP untuk menyokong Mahathir juga telah menghakis lagi asas sokongannya.

“Mereka marah kerana DAP tidak dapat mengiktiraf UEC, dan parti itu dilihat tidak mampu menentang Mahathir. DAP dalam masalah,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Senario ini, katanya, menyebabkan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) berharap untuk masuk ke Pulau Pinang.

Walaupun terdapat keraguan bahawa Warisan dan PBM akan menimbulkan ancaman kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP itu, tetapi beliau berkata, mereka mungkin berpeluang memenangi beberapa kerusi.

Bagaimanapun, bagi pengundi Cina, James menegaskan bahawa mereka akan sentiasa memilih sama ada MCA, Gerakan atau DAP.

“Sekarang DAP kehilangan sokongan, kita berada di keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini kerana terdapat lebih ramai pengundi (dengan Undi 18). 

“Adakah pengundi ini akan mencuba sesuatu yang baru? Kita hanya akan mempunyai pandangan apabila kita sudah hampir ke pilihan raya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button