Berita Utama

Individu lahir selepas tahun 2005 tidak boleh beli rokok

Malaysia berharap luluskan undang-undang baharu berkait penjualan produk tembakau tahun ini

KUALA LUMPUR, 25 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Mereka yang lahir selepas tahun 2005 mungkin tidak lagi dibolehkan membeli produk tembakau atau rokok lain di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia berharap untuk meluluskan satu undang-undang tahun ini, yang akan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lainnya kepada sesiapa sahaja yang lahir selepas tahun 2005.

“Kami berharap untuk meluluskan undang-undang tahun ini yang jika berhasil, akan membawa kepada generasi tidak merokok.

“Malaysia merasakan ia akan memberi impak besar dalam mencegah dan mengawal Penyakit Tidak Berjangkit (NCD),” katanya dalam ucapan intervensi pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO Sesi ke-150 di Geneva, Switzerland, semalam.

Teks ucapan beliau dikeluarkan di laman web rasmi Kementerian Kesihatan (KKM).

Khairy berkata, Malaysia akan menyelaras Pelan Strategik Kebangsaan NCD dan Kertas Putih Mengenai Penjagaan Kesihatan Masa Depan dengan Hala Tuju Pelaksanaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Umur sah untuk merokok ialah 18 tahun ke atas. Mereka yang lahir pada 2005 akan berumur 18 tahun pada 2023, oleh itu mereka dijangka menjadi kumpulan belia terakhir yang mempunyai akses kepada rokok jika undang-undang itu diluluskan.

Pengumumannya itu dibuat seminggu selepas beliau berkata, kerajaan bercadang untuk membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Produk tembakau kini dilindungi di bawah Akta Makanan 1983 dan Khairy berkata, undang-undang baharu itu akan mengawal selia e-rokok serta produk vape.

Kementerian dilaporkan menganggarkan terdapat 27,000 kematian berkaitan tembakau setiap tahun di negara ini akibat penyakit seperti jantung, kanser dan strok.

Kira-kira 15 peratus daripada 27,000 kematian berkaitan tembakau juga didapati bukan perokok yang meninggal dunia akibat terdedah kepada asap rokok.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button