Berita Utama

Pendirian PAS dalam PRN Johor diumum lepas SPR tetapkan tarikh

PAS, PN sedang kaji hala tuju hadapi pilihan raya

KUALA LUMPUR, 25 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Pendirian PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dinyatakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pengundian.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata demikian kerana menurutnya masih terlalu awal untuk  parti itu membuat sebarang ketetapan memandangkan SPR belum bermesyuarat.

Beliau berkata, PAS dan Perikatan Nasional (PN) sedang mengkaji hala tuju bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

Pada masa sama, PAS juga telah mengadakan perjumpaan rasmi dan tidak rasmi dengan semua parti politik bagi membincangkan kerjasama bagi menghadapi PRN Johor, katanya.

“Kita tidak pernah putus mengadakan perundingan dengan semua pihak. Malah, Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) pun mengadakan perundingan dengan semua parti politik yang utama dalam negara kita.

“Dasar kita, PAS ini terbuka (bekerjasama dengan mana-mana pihak) untuk mencapai satu kestabilan politik dan negara,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian selepas Program Edaran Buah Limau Kepada Masyarakat Tiong Hua Sempena Tahun Baru Cina di sekitar Pejabat Agung PAS, hari ini.

Namun apa yang pasti, katanya, PAS akan masuk ke gelanggang untuk mengambil bahagian dalam PRN Johor.

“Pokoknya PAS akan tetap masuk (bertanding) PRN Johor.

“PAS tidak pernah tidak menyertai mana-mana PRN dan pilihan raya umum (PRU) (sebelum ini),” katanya.

Sebelum ini, Takiyuddin berkata, pada asasnya PAS sedia bekerjasama dengan semua parti termasuklah PN atau Barisan Nasional (BN) tetapi perlu meletakkan penyatuan ummah di hadapan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button