Berita Utama

Tak timbul isu bazir, bubar DUN Johor ikut Undang-Undang Tubuh

RM150 juta yang dibelanja termasuk dalam peruntukan

BANGI, 25 Jamadilakhir 1443H, Jumaat – Tidak timbul isu pembaziran kerana pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Pada masa sama, ia juga termaktub dalam hal-hal yang membenarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

“Tidak timbul soal pembaziran kerana perbelanjaan untuk pilihan raya ada diperuntukkan mengikut Perlembagaan negeri.

“Menurut Fasal 23.3 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor disebutkan bahawa PRN boleh diadakan selepas tiga tahun dari Pilihan Raya terakhir tanpa perlu menunggu tamat sepenuhnya penggal mandat iaitu lima tahun.

“Kalaulah itu menjadi Undang-Undang Tubuh, maka sesebuah kerajaan harus bersedia dengan peruntukan untuk mentadbir negeri dengan baik,” katanya seperti dilapor portal tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai membidas dakwaan pihak yang tidak setuju kerajaan negeri membubarkan DUN untuk diadakan PRN kerana perbelanjaan besar yang diperlukan ketika ekonomi rakyat belum pulih sepenuhnya.

Katanya, soal RM150 juta yang perlu dibelanjakan untuk mengadakan PRN bukanlah terpaksa dikorbankan perancangan pembangunan.

“Atau sehingga golongan B40 tidak mendapat pembiayaan dan sebagainya, itu bukan cara sesebuah kerajaan mentadbir.

“Sebab itu dalam Undang-Undang ianya ada hubung kait dengan peruntukan,” katanya.

Hasni menjelaskan, apabila ada sesuatu institusi yang dipertanggungjawabkan maka mereka harus memastikan peruntukan itu tersedia.

Malah, penggunaannya mengikut perundangan yang ada.

Polemik PRN Johor akhirnya terjawab pada Sabtu lalu, selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran DUN.

Dengan keputusan itu, Johor menjadi negeri seterusnya yang akan mengadakan PRN selepas Sabah, Melaka dan Sarawak sebelum ini.

PRN Johor tercetus selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu.

Hal itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button