Berita Utama

Bekas ADUN Larkin Mohd Izhar umum keluar Bersatu

Dakwa parti itu telah hilang hala tuju dan gagal

JOHOR BAHRU, 26 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa Mazlan Bujang, Bersatu hari ini kehilangan seorang lagi ahli apabila bekas ADUN Larkin Datuk Mohd Izhar Ahmad mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor berkata langkah itu terpaksa diambil setelah mendapati parti itu telah hilang hala tuju dan gagal meneruskan agenda penubuhannya sebelum ini selain hilang kepercayaan kepada presiden.

“Saya bersyukur dapat berkhidmat untuk rakyat dan melepasi KPI (petunjuk prestasi utama) sebagai wakil rakyat dan Exco malah, saya tiada kontroversi, rekod buruk dan saya kekal bekerja untuk rakyat.

“Saya percaya demi kestabilan politik dan kemajuan negeri Johor, saya ingin menyeru semua pengundi dan penyokong saya khususnya di DUN Larkin untuk memberi undi kepada Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Mohd Izhar, buat masa ini beliau akan mengambil langkah berdiam diri dan tidak akan terlibat untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atau bertanding di mana-mana DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ditanya adakah terdapat lagi pimpinan Bersatu yang akan mengumumkan pengunduran daripada parti itu, Mohd Izhar berkata perkara itu di luar pengetahuannya.

“Saya tidak pernah berbincang dengan sesiapa pun termasuk Mazlan (bekas ADUN Puteri Wangsa), kami membuat (keluar) atas kesedaran kami sendiri. Jika tanya berapa ramai lagi (ahli Bersatu) akan ikut keluar, saya tidak tahu,” katanya.

Pada PRU14, Mohd Izhar merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, menewaskan calon BN Datuk Yahya Jaafar dan calon PAS Zakiah Tukirin dengan majoriti 8,590 undi.

Pada Khamis lepas, Mazlan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu dipetik sebagai berkata turut sama meletakkan jawatan ialah 22 Ahli Jawatankuasa Bersatu Tebrau. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button