Berita UtamaDunia

Pilihan raya Syria dicemari letupan bom korban 7 nyawa

SOHR salahkan Daesh atas serangan bermotif balas dendam

ALEPPO, 28 Zulkaedah 1441H, Isnin – Sebuah kereta berisi bahan ledakan meletup di bandar Azaz di Barat Laut Syria, yang diduduki oleh militan disokong Turki, membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan puluhan lain cedera.

Kumpulan Pemerhati untuk Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, kereta itu meletup di sebuah bulatan yang menuju ke pintu masuk pos sempadan Bab al-Salam.

Ketua SOHR, Rami Abdel Rahman berkata, tujuh orang – termasuk lima orang awam – terbunuh dan lebih daripada 60 orang yang lain cedera.

Bagaimanapun, agensi berita Anadolu melaporkan, jumlah yang cedera adalah 85 orang.

Terdapat wanita dan kanak-kanak di antara yang cedera, lapor AFP memetik ketua SOHR.

Orang awam yang cedera, ada di antaranya dalam keadaan kritikal, telah dibawa ke seberang sempadan Turki dan dimasukkan ke hospital di bandar Kilis, kata laporan itu.

Militan yang disokong Turki merampas bandar itu sebagai hasil daripada Operasi Euphrates Shield Ankara yang dilancarkan pada tahun 2016.

Syria Utara kerap digegarkan dengan letupan bom, yang dipersalahkan oleh Ankara kepada Unit Perlindungan Rakyat (YPG) pimpinan Kurdish.

Namun, SOHR menyalahkan Daesh atas serangan semalam, dengan mengatakan ia mungkin sebagai pembalasan atas peningkatan operasi oleh Turki dan pasukan yang disokong Turki yang menentang Daesh di wilayah tersebut.

Serangan maut itu berlaku ketika rakyat Syria mengadakan pilihan raya untuk memilih Parlimen baharu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button