Dunia

Pegawai Palestin beri amaran Gaza berdepan bencana akibat COVID-19

Keluk jangkitan meningkat pada kadar yang pantas

GAZA (Palestin), 26 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Seorang pegawai kesihatan Palestin pada Jumaat berkata Semenanjung Gaza sedang melalui situasi “sukar dan bencana” berikutan penularan pantas varian Omicron COVID-19, lapor Agensi Berita Xinhua.

“Keluk jangkitan meningkat pada kadar yang pantas berbanding sebelum ini,” kata penasihat kepada menteri kesihatan Palestin Fathi Abu Warda kepada pemberita di Gaza.

Menurut beliau, 95 pesakit dimasukkan ke hospital dengan 63 daripadanya dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, dan penggunaan katil mencecah 56 peratus.

Abu Warda menyeru setiap warganegara yang dijangkiti COVID-19 atau mempunyai simptom berkaitan supaya segera ke hospital, dengan menyatakan bahawa 48 peratus daripada pesakit yang dimasukkan ke wad di Semenanjung Gaza adalah kes jangkitan Omicron.

Cuaca sejuk semasa yang melanda wilayah Palestin dan kekurangan sumber tenaga di Semenanjung Gaza mengakibatkan bekalan elektrik terputus selama 12 jam setiap hari. Kekurangan alat pemanasan menggalakkan lagi penyebaran virus itu, katanya.

“Setakat ini, hanya 30 peratus daripada populasi di Semenanjung Gaza telah menerima vaksin,” kata Abu Warda, sambil menambah bahawa kementerian kesihatan menggesa orang ramai untuk mengambil suntikan.

Pada Jumaat, Palestin melaporkan lima kematian dan 5,380 kes baharu COVID-19 di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam terakhir, menurut laporan harian koronavirus kementerian kesihatan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button