Berita UtamaDunia

Pil anti COVID-19, Molnupiravir dilapor aktif melawan Omicron

Washington bayar AS$2.2 bilion untuk dapatkan 3.1 juta bekalan

WASHINGTON, 26 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Firma pembuat ubat-ubatan Amerika Syarikat (AS), Merck yakin pil anti COVID-19, Molnupiravir aktif melawan varian Omicron berdasarkan dapatan kajian dari enam makmal.

Kajian tersebut dibuat berdasarkan ujian berasaskan sel yang dijalankan secara bebas oleh beberapa penyelidik di enam negara iaitu Belgium, Jerman, Republik Czech, Poland, Belanda dan AS.

Presiden Makmal Penyelidikan Merck, Dr Dean Y Li berkata, keputusan menunjukkan bahawa pil itu mempunyai aktiviti antiviral konsisten terhadap Omicron, iaitu varian primari yang berlegar di seluruh dunia.

“Rawatan oral yang mengambil masa lima hari daripada permulaan simptom dan ditunjukkan dalam ujian pra-Omicron dalam kalangan 1,400 peserta berjaya mengurangkan kemasukan ke hospital.

“Selain kematian akibat COVID-19 sehingga 30 peratus dalam kalangan individu berisiko.

“Dapatan itu juga membekalkan keyakinan tambahan bagi potensi pil berkenaan sebagai pilihan rawatan penting untuk golongan dewasa tertentu yang menghidap gejala COVID-19 ringan sehingga sederhana, terutama bagi individu berisiko tinggi untuk menghidap penyakit kritikal,” katanya.

Pil rawatan itu turut dipasarkan menggunakan nama Lagevrio, dan mendapat kelulusan di lebih 10 negara termasuk AS, United Kingdom (UK) serta Jepun.

Washington sudah membayar AS$2.2 bilion untuk memperoleh 3.1 juta ubat itu.

Setakat ini, dua juta ubat berkenaan sudah dihantar, menurut firma terbabit.

Bagaimanapun, di luar AS dan Kanada, keberkesanan pil Molnupiravir terhadap varian Omicron masih belum dinilai menerusi ujian klinikal, kata Merck atau dikenali sebagai MSD. – Agensi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button