Berita Utama

Tolak 1,208 guru BM KPM, bukti keangkuhan sekolah Cina

Integrasi takkan terbentuk selagi ada pihak antinasional

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 26 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Integrasi nasional dan perpaduan bangsa tidak dapat diwujudkan sekiranya masih ada pihak bersikap antinasional terutamanya dalam memartabatkan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Demikian tegas, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Azizee Mohd Hasan yang kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pengurusan sekolah berkenaan apabila dilihat tidak memandang serius terhadap pengajaran bahasa Melayu.

Dakwanya, keadaan itu juga jelas membuktikan pengurusan sekolah Cina melihat isu perkauman lebih penting berbanding mahu memartabatkan bahasa kebangsaan sendiri.

Sedangkan, katanya lagi, itu adalah bahasa kebangsaan yang perlu difahami dan dipelajari semua rakyat di negara ini.

“Keadaan jelas membuktikan tebalnya sifat perkauman dan rasis mereka, sedangkan SJKC juga sama seperti sekolah-sekolah lain turut menerima bantuan kerajaan.

“Mereka seolah-olah terlupa mereka juga masih di bawah tanggungjawab KPM.

“Sepatutnya sekolah Cina ini yang telah terima bantuan kerajaan perlu akur dan bukannya dengan angkuh menolak dan mengambil kaum mereka sendiri walaupun tiada kebolehan dan kepakaran dalam bidang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raouf Husin yang menyatakan seramai 1,208 guru bahasa Melayu pernah ditolak untuk mengajar di sekolah Cina.

Keadaan itu dilakukan semata-mata mahu mengekalkan sekolah Cina dikuasai oleh kaum mereka sahaja dengan tidak memberi peluang kepada pihak lain memasuki institusi berkenaan.

Sebaliknya, pengurusan sekolah berkenaan membuat pengambilan secara ‘walk in’ dalam kalangan kaum mereka sahaja.

Ustaz Azizee menegaskan, keadaan itu perlu dipandang serius oleh Kementerian Pendidikan (KPM) selain pihak kerajaan dengan menimbang semula segala bantuan yang telah disalurkan kepada mereka.

Katanya, kerajaan perlu menarik semula bantuan yang telah diberikan kerana mereka tidak patuh arahan ditetapkan.

“Sudah sampai masanya kewujudan sekolah berkenaan dinilai semula jika mereka enggan berasimilasi dengan sistem pendidikan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button