Berita Utama

1,000 jemaah umrah berlepas ke Tanah Suci 8 Februari

SOP baharu belum dimuktamad, tapi pengendali umrah sudah lakukan persiapan

BANGI, 27 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Kira-kira 1,000 jemaah umrah akan berlepas ke Tanah Suci 8 Februari ini selepas ditangguhkan sementara, bulan lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham.

Katanya, walaupun prosedur operasi standard (SOP) baharu belum dimuktamadkan, namun pihak pengendali umrah telah melakukan segala persiapan.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan SOP masih belum dimuktamadkan, walaupun kerajaan sudah umumkan pembukaan semula umrah 8 Februari ini.

“Kami di pihak pengendali, berpegang kepada pengumuman MOTAC mengenai pembukaan semula umrah 8 Februari ini dan jemaah juga maklum mengenainya,” katanya seperti dilapor media tempatan.

PAPUH bagaimanapun melahirkan rasa kebimbangan sekiranya berlaku pembatalan di saat-saat akhir.

“Kami agak kecewa kerana sehingga kini SOP baharu belum lagi dimuktamadkan, keadaan ini hanya menyukarkan pihak agensi memulakan operasi mengikut ketetapan baharu kerajaan.

“Dalam keadaan sekarang dengan SOP belum ada, kami tidak ada pilihan selain meneruskan sahaja persiapan umrah untuk 1,000 jemaah yang akan terbang 8 Februari ini berikutan semua urusan telah disiapkan, termasuk pengeluaran visa,” katanya.

Beliau dalam masa sama menyifatkan tidak keselarasan dan koordinasi antara KKM dan MOTAC menyebabkan perkara ini sehingga kini belum diselesaikan.

“Ketika sesi libat urus pada Rabu minggu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan umrah dibuka 15 Februari tetapi kemudian MOTAC mengumumkan lebih awal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button