Berita Utama

Gantung bina SJKC Too Joon Hing, jawatankuasa fail tuntutan di mahkamah

Mohon mahkamah nilai kerugian ditanggung

BANGI, 27 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi semakan kehakiman terhadap perintah penggantungan pembinaan sekolah itu yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut memohon mahkamah menilai kerugian yang ditanggung sepanjang tempoh penggantungan.

Exco kerajaan negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, memandangkan permohonan untuk semakan kehakiman mesti dikemukakan dalam tempoh tiga bulan, Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing telah memfailkan permohonan di mahkamah pada 17 Januari.

Mahkamah juga dilaporkan memilih 1 Mac depan untuk sesi pendengaran dalam talian.

Dakwanya, sudah lebih dua bulan setengah Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing menerima perintah penggantungan pembinaan dari KPM dan sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan yang jelas berhubung sebab perintah penggantungan pembinaan sekolah dikeluarkan.

“Bagi mendapatkan jawapan, Jawatankuasa Pembinaan sekali lagi menghantar surat kepada Menteri Pendidikan, Timbalan Menteri Pendidikan dan Ketua Setiausaha pada 6 Januari lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini, KPM masih tidak menjelaskan punca sebenar perintah penggantungan pembinaan dikeluarkan selain tidak memaklumkan tarikh penyambungan semula kerja pembinaan,” katanya seperti dilapor Oriental Daily pada 23 Januari lalu.

Tegasnya, jika KPM boleh memberikan jawapan yang jelas beserta tarikh bila pembinaan boleh disambung semula sebelum 1 Mac barulah Jawatankuasa Pembinaan akan menarik balik tindakan undang-undang.

Sze Han menegaskan, tindakan KPM yang sewenang-wenangnya mengarahkan Jawatankuasa Pembinaan menghentikan proses pembinaan sekolah tanpa alasan adalah penyalahgunaan kuasa dan amat tidak adil kepada orang ramai.

“Kinrara sangat memerlukan SJKC baharu dibina dengan kadar segera. Insiden penggantungan pembinaan sekolah bukan sahaja menarik perhatian ibu bapa berketurunan Cina, malah ibu bapa berketurunan bukan Cina turut bertanyakan perkembangan pembinaan sekolah tersebut, kerana mereka juga tidak sabar untuk memasukkan anak-anak mereka belajar di SJKC Too Joon Hing,” dakwanya.

Dia mendakwa, mengikut perancangan asal, SJKC Too Joon Hing dijangka memulakan operasinya tahun depan dengan 24 buah kelas untuk menampung 1,000 pelajar, sekali gus mengurangkan masalah kesesakan pelajar di SJKC Lai Ming dan SJKC Bukit Serdang yang terletak berhampiran.

Sementara itu, peguam yang mewakili Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing, Foo Wen Cong menegaskan, akan memohon mahkamah mengisytiharkan perintah penggantungan pembinaan yang dikeluarkan oleh KPM pada 25 Oktober 2021 tidak sah, selain meminta mahkamah menyemak keabsahan kelulusan projek pembinaan sekolah yang diperolehi Jawatankuasa Pembinaan itu sebelum ini.

“Kami juga akan memohon mahkamah menilaikan kerugian yang dialami oleh Jawatankuasa Pembinaan akibat perintah penggantungan pembinaan tersebut kerana ia melibatkan wang sumbangan orang ramai,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing, Ong Yew Thai berkata, jawatankuasa itu mengambil tindakan undang-undang sebagai teladan agar proses pembinaan SJKC lain yang diluluskan dapat berjalan lancar tanpa gangguan seperti arahan penggantungan pembinaan yang disebabkan oleh pertukaran kerajaan.

“Kami telah bertemu dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon sebulan lalu. Beliau menyatakan perlu masa untuk membuat semakan, tetapi sehingga kini, masih tiada jawapan yang jelas. Oleh itu, kami terpaksa mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Katanya lagi, selain kutipan dari orang ramai, Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing turut menerima sumbangan RM1 Juta dari yayasan untuk membiayai kos pembinaan.

Rujukan; https://www.orientaldaily.com.my/news/central/2022/01/23/463816

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2021/11/17/dong-lian-selangor-kl-jawatankuasa-too-joon-hing-mahu-jumpa-hang-soon/
https://ismaweb.net/2021/11/12/jawatankuasa-sjkc-too-joon-hing-desak-kpm-nyata-sebab-henti-pembinaan1/
https://ismaweb.net/2021/11/13/ugut-kpm-jawatankuasa-sjkc-too-joon-hing-bersikap-ekstrem/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button