Kembalikan maruah negara dengan mantapkan institusi keluarga, pendidikan
Rakyat perlu kepimpinan baharu lebih wibawa bukan populis

BANGI, 27 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Landskap politik yang tidak menentu, tidak jelas hala tuju dan agenda menyebabkan keadaan ekonomi negara menjadi lebih parah.
Hakikatnya, rakyat memerlukan kepimpinan baru yang membawa corak politik lebih jujur dan telus, dengan idea yang lebih segar, progresif dan berintegriti.
Kerajaan yang sihat memerlukan kepimpinan yang berwibawa, bukan populis yang mementingkan diri sendiri selain bergelumang dengan rasuah dan kebejatan akhlak menjijikkan.
Justeru, bagi mendapatkan negara unggul dan bermaruah, Wanita BERJASA menawarkan penyelesaian terhadap kemelut negara ketika ini – yang mana institusi keluarga dilihat sebagai aset terpenting dalam pembinaan sesebuah tamadun.
Ketua Wanitanya, Siti Ummi Kalsom Hussin berkata, pemerkasaan institusi tersebut perlu dipandang serius dari segala aspek, terutamanya pendidikan.
Pembinaan Keluarga Malaysia yang unggul dan harmoni, akan mampu dicapai melalui pendidikan, bukan sahaja yang formal sebaliknya yang informal seperti kursus-kursus kemahiran kekeluargaan.
“Semua ini perlu dititk berat kepada kedua-dua ibu dan bapa, dalam mendidik generasi muda sebagai pelapis kepimpinan negara yang jujur, ikhlas, berwawasan dan sanggup berkorban demi negara,” katanya dalam sidang akhbar secara maya, hari ini.
Selain itu, tegas beliau, pendidikan berterusan yang efisyen dan efektif akan diberi penekanan agar masa depan negara terjamin.
Beliau juga berpandangan, modal insan yang berwibawa, berintegriti dan kompeten akan mampu membawa negara lebih jauh ke hadapan.
“Wanita BERJASA bertekad untuk memperkasakan pendidikan, agar generasi akan datang terdidik dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap penciptanya, bangsa dan negara,” katanya.
Malah, pemerkasaan kaum wanita dalam segenap sudut termasuk kerohanian, mental dan emosi mesti diberi keutamaan.
Justeru, Wanita BERJASA komited dan berazam untuk membina semula Malaysia yang bermaruah melalui usaha pemantapan dan pemerkasaan kedua-dua institusi di atas, iaitu Institusi Keluarga dan Institusi Pendidikan.