Berita Utama

Tawaran taraf kerakyatan dalam manifesto BN-PH tidak masuk akal

Bahaya pada landskap politik negara kerana ramai tunggu peluang

BANGI, 18 Rabiulakhir 1444H, Isnin –  Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyelar tawaran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berhubung pemberian taraf kewarganegaraan kepada anak hasil perkahwinan dengan warga asing, termasuk anak angkat.

Menyifatkan tawaran seumpama itu tidak masuk akal, beliau berkata, janji berkenaan sangat berbahaya kepada landskap politik negara, kerana ramai yang menantikan peluang itu terutama mereka tanpa dokumen di Sabah dan Sarawak.

Ia tidak termasuk juga dengan warga Cina-Vietnam yang berkahwin dengan ultra kiasu serta projek kad pengenalan palsu, kata Ridhuan Tee.

“Negara lain begitu sukar mendapatkan kerakyatan, kita mahu beri secara mudah, hanya kerana mahu menang pilihan raya.

“Sudahlah pemberian kerakyatan sebelum ini diberikan secara mudah menjelang kemerdekaan, sehingga mengubah landskap politik negara.

“Itupun masih ramai yang tidak terhutang budi, terus dengan tindakan komunis mereka,” katanya menulis di Kolumnis Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, PH menerusi manifesto dalam Buku Tawaran Harapan muka surat 28 dan 34 menawarkan kerakyatan automatik bagi anak angkat dan warga emas yang mempunyai anak warga Malaysia.

Bukan hanya PH, BN juga dalam tawarannya turut berjanji akan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak kepada wanita warga Malaysia yang lahir di luar negara, diberi kerakyatan negara ini.

Janji itu dibuat kerana BN enggan lagi melihat anak yang dilahirkan hasil perkahwinan campur di luar negara, dinafikan hak untuk menjadi warganegara hanya kerana memiliki bapa warga asing.

Merujuk British, Ridhuan Tee berkata, sedangkan negara itu sendiri memberikan syarat kepada imigran sebelum diterima menjadi warganegara, termasuk menghapuskan sekolah berasaskan kaum atau vernakular.

Menurutnya, ketika penjajahan, British hanya membenarkan sekolah vernakular beroperasi dengan tujuan, apabila mereka mahu kembali ke negara tidak lupa asal usul.

“Namun, jika mereka mahu meneruskan menetap tinggal di sini, menjadi warganegara, maka sekolah berasaskan mesti dihapuskan.

“Malangnya, setelah kerakyatan diberikan, kita teruskan sekolah ini. British jauh lebih memahami erti pembinaan negara bangsa berbanding kita,” katanya.

Baca penuh ulasan Prof Dr Mohd Ridhuan Tee di sini;

Ini masa rakyat ajar pemimpin erti bersatu

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button