Berita Utama

Rakyat masih perlukan moratorium

Hampir dua tahun pandemik, tiada bank yang dilaporkan alami kerugian

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 27 Jamadilakhir 1443H, Ahad – Kerajaan wajar melanjutkan moratorium yang bakal berakhir esok berikutan pemulihan ekonomi negara masih belum dalam keadaan stabil sepenuhnya.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, lanjutan tempoh moratorium masih menjadi keperluan penting kepada rakyat di saat ini sehingga keadaan stabil iaitu sekurang-kurang dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Musibah yang melanda berturut-turut seperti banjir di Lembah Klang dan beberapa negeri selain kesan COVID-19 sangat memberi kesan kepada rakyat untuk kembali bangkit.

“Situasi ini memerlukan sokongan kerajaan, bukan sahaja golongan B40 tetapi turut terjejas golongan pertengahan seperti M40.

“Dalam keadaan kekangan ekonomi dan pandemik yang tidak menentu, seharusnya moratorium dilanjutkan, ia pasti disambut baik terutama mereka yang terkesan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau menjelaskan, lanjutan moratarium sebenarnya tidak menjejaskan kedudukan bank sebaliknya masih mencatatkan keuntungan.

Kongsi beliau, sepanjang tempoh dua tahun berlaku moratarium tiada bank yang dilaporkan mengalami kerugian.

“Jadi keadaan ini tidak sepatutnya berbangkit dan keperluan untuk membantu golongan terjejas perlu diteruskan,” katanya yang merupakan Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau berkata, institusi perbankan dan pihak berkuasa seharusnya meneliti kesan jangka panjang dan buruk sekiranya moratorium tidak dilanjutkan.

Malah, tidak mustahil akan timbul kesan sosial yang lebih teruk dalam masyarakat terutama melibatkan kes penceraian, kecurian, bunuh diri dan pinjaman Ah long yang semuanya berpunca beban kewangan.

Pautan terdahulu:
https://ismaweb.net/2021/06/08/hentikan-polemik-laksana-segera-moratorium-automatik-jika-benar-kerajaan-prihatin/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button